KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 14 Ogos ini bagi keputusan berhubung kesahihan pernikahan dan sijil nikah pempangaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali Cleopatra dengan Tan Sri, Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra, 30, selaku pemohon pada sebutan kes itu di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat yang dibuat dalam kamar di sini semalam.

“Sepatutnya hari ini (semalam) adalah keputusan kes itu, namun mahkamah menangguhkan kepada 14 Ogos. Keputusan itu berkaitan sama ada wujud atau tidak perkahwinan itu,” kata peguam itu.
Sementara itu, peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd. Bakri, 70, selaku responden turut mengesahkan tarikh 14 Ogos ini bagi keputusan kes itu.
Semasa prosiding Nur Fathiah dan Mohd. Bakri hadir ke mahkamah.
Pada prosiding terdahulu, Nur Fathiah menafikan dia pernah bernikah dengan Bakri dan menyatakan terkejut sebaik menerima sijil pernikahan dari negara jiran sedangkan dia tidak pernah ke sana dan berkahwin.
Atas sebab itu, bekas calon Bebas Parlimen Batu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendapatkan jawapan kesahihan pernikahan dan sijil nikah yang diperoleh.
Katanya, sebelum kes dibawa ke mahkamah perkara tersebut dirujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disahkan sijil nikah tersebut adalah palsu.
Wanita itu juga menafikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu merupakan pengerusi kepada anak syarikat miliknya.
Nur Fathiah pernah memuat naik gambar dirinya dan Mohd. Bakri di Instagram di mana mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen selain ramai mengucapkan tahniah.- UTUSAN









