COLOMBO: Rakyat Sri Lanka akan mengundi pada 21 September depan untuk memilih Presiden baharu, yang dijangka menentukan masa depan negara dalam mengharungi krisis kewangan terburuk.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, pencalonan untuk pemilihan perlu dikemukakan pada 15 Ogos.
Penyandang Presiden, Ranil Wickremensinghe dijangka bertanding dalam pilihan raya, dengan hampir 17 juta daripada 22 juta penduduk Sri Lanka layak mengundi.
Wickremesinghe, 75, mengambil alih jawatan pada Julai 2022 selepas protes meluas akibat krisis kewangan yang teruk, memaksa pendahulunya, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dari negara dan meletak jawatan.
Parlimen memilih Wickremesinghe untuk menghabiskan baki penggal lima tahun yang dikosongkan oleh Rajapaksa, yang dipilih pada November 2019.
Dibantu oleh program penyelamat Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bernilai AS$2.9 bilion (RM13.49 bilion), Wickremesinghe memulihkan ekonomi yang musnah, menurunkan inflasi daripada 70 peratus pada September 2022 kepada 1.7 peratus pada Jun, mengukuhkan nilai rupee dan membina semula rizab pertukaran asing yang musnah sebelum ini.
Ekonomi Sri Lanka dijangka berkembang tiga peratus pada 2024 selepas menyusut 2.3 peratus pada 2023 dan 7.3 peratus semasa kemuncak krisis.- REUTERS










