JOHOR BAHRU: Tiga mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai berjaya membuka syarikat mesin salinan automatik di dalam kampus.
Mesin salinan berteknologi automatik diberi nama PrinTEX-Automated Printing Machine itu memudahkan para penuntut terutama yang mahu membuat salinan pada bila-bila masa termasuk tengah malam dengan hanya menggunakan telefon bimbit.
Ketua Pegawai Operasi Uninet Teknology, Fikri Akmal Aizuddin berkata, idea membangunkan mesin salinan automatik itu tercetus apabila melihat ramai penuntut menghadapi masalah untuk membuat salinan terutama apabila kedai sudah tutup pada waktu malam.
“Saya dan dua lagi rakan di Fakulti Komputer, iaitu Iqmal Aizat Mohd. Zamri dan Low Lie Xin mencari idea untuk membuat mesin salinan secara automatik. Hasil penyelidikan selama setahun dan membuat kajian dan percubaan tentang keberkesanan mesin ini, akhirnya kami beroleh kejayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini mereka membuat aplikasi dan kod respons pantas (QR) dalam telefon bimbit bagi memudahkan akses terhadap mesin automatik berkenaan.
“Mesin cetak dibeli terlebih dahulu, kemudian memasukkan peralatan elektronik yang telah diubah suai serta alat kawalan diletakkan di dalam kotak tertutup.
“Pengguna hanya perlu mengakses aplikasi pada telefon bimbit dan salinan yang akan dicetak telah siap dalam telefon sebelum dicetak.
“Bayaran yang dikenakan hanya 10 sen sekeping dan beroperasi 24 jam,” katanya sambil memaklumkan mesin itu diletakkan di lokasi yang menjadi tumpuan penuntut untuk membuat salinan sama ada berwarna atau hitam putih.
Dalam pada itu, syarikatnya menerima geran berjumlah RM20,000 sebagai penghargaan atas inisiatif mereka mewujudkan syarikat pemula berasaskan teknologi untuk meneroka penemuan baharu yang boleh dimanfaatkan komuniti, industri dan negara. – UTUSAN











