TANAH MERAH: Sebahagian sisa runtuhan Jambatan Guillemard yang dibom tentera British pada 11 Disember 1941 diangkat semula dari dasar Sungai Kusial di sini untuk dijadikan monumen sejarah di Taman Guillemard.
Jambatan pertama merentasi Sungai Kelantan itu dibom bagi menghalang kehadiran tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh, Bahari Mohamad Nor berkata, usaha mendapatkan semula jambatan kereta api yang terbenam ke dasar sungai sejak lebih 83 tahun lalu mendapat kerjasama pelbagai pihak.
“Ini adalah siri kelima usaha mendapatkan semula sisa runtuhan besi keluli yang masih belum berkarat.
“Besi seberat lima tan dengan ukuran panjang enam meter dan lebar 3.6 meter akan diangkat menggunakan kren ke tebing Sungai Kusial,” katanya ketika ditemui di Kusial Bharu, di sini semalam.
Bahari memberitahu, antara agensi yang terbabit bagi mengangkat semula sisa runtuhan itu ialah Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB), Perbadanan Aset
Kereta Api (RAC), Jabatan Bomba Penyelamat Kelantan, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kementerian Pelancongan, Muzium Negeri Kelantan dan Kor Jurutera, Lapan Briged.
Menurutnya, monumen tersebut akan dinaikkan dalam rupa bentuk dalam semetri sebenar termasuk jambatan dan landasan kereta api yang bakal mencecah 100 tahun usianya pada 19 Julai ini.
“Perbelanjaan mendaratkan semula sisa runtuhan itu mencecah RM5,000 manakala pembangunan Taman Guillemard membabitkan perbelanjaan sebanyak RM2 juta.
“Pembangunan Taman Guillemard bakal menjadikan lokasi itu sebagai ikon pelancongan sejarah di negeri ini,” ujarnya.
Tambah Bahari, beliau sedang berusaha untuk bekerjasama kerajaan Thailand di Kanchanaburi untuk mendapatkan papan tanda berkembar yang berkait dengan sejarah Jambatan Guillemard. – UTUSAN











