KUCHING: Shell Middle Distillate Synthesis (MDS) Malaysia memperkenalkan penghasilan mentega yang disintesis daripada gas, meletakkan syarikat itu sebagai pengeluar komersial pertama di dunia.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penghasilan produk baharu itu merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam teknologi makanan dan pembangunan perindustrian di Sarawak.
“Produk yang dihasilkan daripada lilin berkualiti tinggi itu, menekankan kepelbagaian teknologi gas kepada cecair (GTL) dan berpotensi untuk merevolusikannya ke pelbagai sektor ekonomi termasuk makanan.
“Terdapat banyak produk baharu, teknologi baharu yang akan mengekalkan industri berasaskan gas sebagai bahan makanan.
“Justeru itu apabila ia diperakui di peringkat antarabangsa, mentega yang berasal daripada gas ini mampu memberi manfaat kepada industri makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd di Hotel Hilton Kuching di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Abang Johari menegaskan kepentingan gas sebagai bahan mentah untuk sektor petrokimia yang mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan ekonomi.
Kepentingan itu sekaligus menjadikan penubuhan syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dengan matlamat menjamin penglibatan aktif tempatan dalam industri itu.
“Kerajaan Sarawak akan kekal sebagai rakan kongsi anda pada masa hadapan. Sudah tentu kita mempunyai pemain baharu termasuk syarikat minyak negara sebagai rakan kongsi.
“Seperti yang kita semua tahu, pada hari ini kita telah meneroka satu lagi medan gas baharu. Mungkin tahun demi tahun, kita mungkin mencari medan lain,” tambah Abang Johari.










