Sekadar dengar cakap - Hakim

Sekadar dengar cakap – Hakim

MUHAMMAD Shafee Abdullah mewakili Najib Tun Razak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Segala afidavit yang mendakwa terdapatnya titah adendum (tambahan) mengarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan baki hukuman penjara di kediamannya dan bukan di Penjara Kajang hanyalah dengar cakap (hearsay). 

Menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh, walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan melihat titah tersebut di telefon bimbit Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, namun ia tidak boleh diterima pakai. 

“Saya telah mempertimbangkan afidavit pertama dan kedua yang disahkan oleh pemohon (Najib) hanya mengandungi kenyataan kosong tanpa menamakan sumber atau kepercayaannya mengenai kewujudan titah adendum itu. Saya dapati kedua-dua afidavit tersebut adalah di peringkat tertinggi, sekadar dengar cakap. 

“Pemohon bergantung ke pada sumber iaitu Tengku Zaf rul, namun sumber itu tidak pernah menyokong mana-mana afidavit. Sumber ada tetapi tidak digunakan. Tengku Zafrul cuba untuk memasukkan afidavitnya sendiri (bukan afidavit menyokong) tetapi undang-undang tidak membenarkannya pada peringkat ini. 

“Atas alasan ini, saya memutuskan bahawa kesemua afidavit yang difailkan adalah semata-mata dengar cakap. Tiada sebarang afidavit yang benar-benar mengesahkan fakta material yang dinyatakan oleh pemohon dalam permohonannya.  

“Rentetan itu juga, tiada kes yang memerlukan penjelasan lanjut di peringkat seterusnya,” katanya. 

Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut untuk mendapatkan kebenaran bagi mengesahkan kewujudan titah adendum berkenaan. 

Dalam prosiding semalam, Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan Ahmad Hanir Hambaly bertindak bagi pihak responden. 

Menyentuh mengenai afidavit oleh Ahmad Zahid dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang, mahkamah memutuskan ia juga keterangan dengar cakap. 

“Ahmad Zahid berkata, Tengku Zafrul memberitahunya bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunjukkan perintah tambahan itu kepadanya dan Tengku Zafrul juga mengambil foto titah terbabit. Ahmad Zahid berkata bahawa beliau melihat foto titah yang mengandungi tandatangan Yang di-Pertuan Agong di telefon bimbit Tengku Zafrul. 

“Penegasan Ahmad Zahid juga adalah dengar cakap semata-mata sebagai sumber maklumat dan kepercayaan beliau ialah Tengku Zafrul. Ahmad Zahid sendiri tidak mempunyai pengetahuan mengenai perintah tambahan itu melainkan apa yang didengari daripada Tengku Zafrul,” katanya. 

Afidavit oleh Wan Rosdy turut menyatakan perkara serupa yang mana beliau juga mengetahui mengenai titah adendum itu melalui Tengku Zafrul. 

“Afidavit yang dibuat oleh Wan Rosdy juga adalah dengar cakap,” kata hakim itu. 

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang. 

Menurut afidavit difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu. 

Pada 9 April lalu, Ahmad Zahid dalam afidavitnya berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah terbabit oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, 30 Januari lalu. 

Ahmad Zahid juga dipetik berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan titah adendum itu pada telefonnya yang beliau ambil gambar dan im bas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. 

Pada 21 Mei lalu, Wan Rosdy dalam afidavitnya menyatakan beliau mengetahui mengenai titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah melalui Tengku Zafrul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN