KUCHING: Sebanyak 940 kes remaja hamil direkodkan di Sarawak sejak Januari hingga Jun tahun ini termasuk 4.4 peratus mereka yang di bawah usia 16 tahun.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, sebanyak 31.3 peratus daripada kes itu melibatkan mereka yang berumur 16 hingga 17 tahun dan 64.4 peratus (605 kes) pula berumur 18 hingga 19 tahun.
Katanya, bagi kes di bawah umur 18 tahun, sebanyak 62.55 peratus daripadanya melibatkan remaja tidak berkahwin dan 96 peratus (902 kes) tidak lagi bersekolah semasa dilaporkan hamil.
“Berdasarkan etnik, 50.7 peratus kes remaja hamil yang direkodkan adalah dalam kalangan etnik Iban, 22.1 peratus etnik Melayu, 6.8 peratus etnik Bidayuh dan 6.6 peratus etnik Cina.
“Mengikut pentadbiran bahagian di Sarawak, Bahagian Kapit mencatatkan peratusan remaja hamil yang tertinggi (12.64 peratus), diikuti dengan Sri Aman (8.25 peratus), Bintulu (8.16 peratus), Sibu (7.52 peratus) dan Sarikei (7.20 peratus),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) Peringkat Sarawak yang kedua bagi tahun 2024.
Sehubungan itu, kata Kementeriannya melalui Majlis Pembangunan Sosial (MPS) telah melaksanakan empat siri program dan intervensi sosial, setakat Jun tahun ini termasuk Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS), Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) serta Wacana Minda.
“KAPS telah memberi impak positif dengan penurunan sebanyak 60.6 peratus dalam bilangan kes remaja hamil bersekolah di antara tahun 2015 (160 kes) dan tahun 2023 (63 kes). Oleh itu, KAPS dilaksanakan sebanyak dua siri di sekolah menengah di Sarawak,” tegasnya.
Tambah Fatimah, program RPS yang mengandungi komponen berkaitan isu kehamilan remaja, perkahwinan bawah umur, jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan keselamatan kanak-kanak turut dilaksanakan kepada komuniti di kawasan pedalaman di setiap pentadbiran bahagian di Sarawak.











