Salah laku: Ketua jabatan boleh dibuang kerja

Salah laku: Ketua jabatan boleh dibuang kerja

ISMAIL BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan perkhidmatan awam termasuk ketua pengarah boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja jika tidak mengambil tindakan kepada kepada pegawai di bawah seliaan yang telah melakukan salah laku dalam jabatan masing-masing.

Menegaskan perkara itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr. Ismail Bakar berkata, ia terutama selepas syor hukuman yang dikemukakan suruhanjaya itu kepada jabatan berkenaan tidak dilaksanakan langsung atau mengenakan hukuman lebih ringan berbanding apa yang dinyatakan dalam laporan akhir siasatan EAIC.

Menurut beliau, setiap aduan yang dibawa kepada EAIC membabitkan salah laku penguatkuasa akan melalui proses siasatan penuh sebelum dibuktikan bersalah dan dikemukakan syor hukuman kepada jabatan ber­kenaan untuk mengambil tindakan terhadap pesalah itu.

“Banyak syor dikemukakan EAIC kepada agensi untuk mengenakan hukuman kepada pesalah tidak dilaksanakan mengikut syor. Kita bukan nak jadi popular atau mahu menghukum apatah lagi menyusahkan hidup orang.

“Sesuatu dapatan yang kita cadangkan bukan main ‘petik-petik’ sahaja tetapi telah melalui satu proses awalan siasatan dalaman terperinci sehingga dibawa ke mesyuarat majlis dan telah membincangkan merit sesuatu kes hukuman tersebut patut atau tidak patut dibuat.

“Bila kesalahan integriti itu dibawa ke pihak berkuasa tatatertib (dalam jabatan) ber­kenaan dan tidak dipatuhi, makna­nya kita boleh katakan agensi itu tidak berminat dengan usaha mengatasinya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Ismail berkata, jika situasi ini terus berlaku, ia akan menggambarkan EAIC tidak memenuhi matlamat penubuhannya.

Justeru, katanya, EAIC selepas ini akan ‘menuju’ kepada ketua jabatan pula kerana gagal menyelia dan tidak memantau pegawai-pegawai di bawah seliannya.

Dalam hal ini, tegas beliau, EAIC akan menulis surat kepada pihak berwajib seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) untuk melaporkan kegagalan ketua jabatan dalam melaksanakan tindakan mengikut syor dikemukakan kepada pegawai-pegawai mereka yang didapati bersalah.

“Tugas ketua jabatan untuk memantau anak buah, apabila berlaku kecuaian atau berlaku isu di peringkat anak buah dia, ketua jabatan boleh diambil tindakan.

“Apabila bukti menunjukkan ketua jabatan sendiri tidak turun padang, tidak ada mekanisme untuk memantau, maka boleh ambil tindakan untuk kita laporkan kepada KPPA dan semua yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, usaha menangani rasuah dan salah laku integriti perlu dilaksanakan de­ngan serius kerana ia boleh menyebabkan berlaku ketirisan berbilion ringgit kepada hasil negara.

Ini selaras dengan surat edaran yang dikeluarkan oleh KPPA kepada anggota perkhidmatan awam baru-baru ini berhubung kewajipan ketua jabatan untuk mengawasi tatakelaku dan menjalankan kawalan tatatertib terhadap pegawai seliaan.

“Buat apa kita nak simpan pegawai atau ketua pengarah (macam ini)? Jangan buat sesuatu perkara itu retorik. Kalau kita kata supaya benda ini tidak jadi budaya, maka kita kena tegas.

“Kalau ada satu guni beras, ada dua tiga bubuk di situ, anda nak buang bubuk ke nak buang beras? Jadi, bubuk semua ini kena buang sebelum beras rosak kalau nak selamatkan beras,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail me­negaskan, perasaan simpati tidak sepatutnya wujud atas alasan tidak mahu mengambil tindakan sewajarnya kepada pegawai yang bersalah.

Ini membuktikan ketua jabatan itu telah menghalalkan isu integriti dan kesalahan ra­suah di peringkat jabatan tersebut.

“Dengan cara tidak mematuhi, tidak memantau, maknanya ketua jabatan itu telah menghalalkan isu integriti berlaku di jabatan berkenaan.

“Kita sudah hantar surat bagi aduan yang kita putuskan untuk siasat penuh dan kita cada­ngkan kepada ketua jabatan untuk ambil tindakan ditahan daripada apa-apa juga kenaikan pangkat, gaji atau peluang sambung belajar.

“Surat ini juga telah disalinkan kepada Ketua Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kita akan pantau sama ada benda itu berlaku atau tidak (ambil tindakan), sekiranya benda itu tidak berlaku, saya tidak teragak-agak untuk buat satu kenyataan bahawa kerajaan tidak serius untuk mengatasi masalah ini kerana saya ada bukti di mana cadangan kita tidak dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN