KOTA BHARU: Pas melihat Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 perlu dikaji secara mendalam berikutan terdapat banyak mazhab dalam Islam selain ilmunya yang luas.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, beliau berpandangan semua ulamak termasuk Imam Malik, Imam Syafie, dan Imam Hambali tidak membenarkan mazhab mereka diisytiharkan sebagai mazhab negara.
“Hanya Islam sahaja yang menjadi agama negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Kelantan Membangun Bersama Islam Internasional Conference 2024 (KelMIC 2024) di sini malam tadi.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Utusan Online sebelum ini melaporkan,
semua Ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 apabila usul tersebut dibawa ke Dewan Rakyat nanti.
Ahli Majlis Syura Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Dr. Muna Hamzan berkata, sokongan itu bagi memastikan RUU tersebut diluluskan oleh Parlimen seterusnya dikuatkuasakan bagi memelihara institusi Raja-raja dan mengekang elemen radikalisme dalam negara.
Menurutnya, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain.-UTUSAN










