MOSCOW: Kementerian Luar Russia mengkritik Jawatankuasa Olimpik Perancis kerana melarang seorang atlet berhijab daripada mewakili negaranya pada upacara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024, kelmarin.
Jurucakap kementerian, Maria Zakharova menyifatkan larangan yang dikenakan terhadap pelari pecut Perancis, Sounkamba Sylla sebagai tindakan pengasingan yang ketara.
Zakharova dalam kenyataan berkata, atlet muslim itu dihalang daripada mewakili negara pada upacara pembukaan, dengan Jawatankuasa Olimpik Perancis didakwa merujuk larangan ‘memakai pakaian tradisonal’ dalam acara sukan.
Beliau menegaskan, keputusan itu menunjukkan sejauh mana acara sukan antarabangsa menyimpang daripada matlamat yang ditetapkan oleh gerakan Olimpik di Paris lebih 100 tahun lalu, bercanggah dengan semangat OIimpik.
“Sebelum ini, atlet Russia dan Belarus juga tertakluk kepada pengasingan di bawah alasan yang tidak berasas.
“Larangan ini kemudiannya diperluaskan kepada media Russia, dan kini atlet Perancis turut terjejas oleh mesin kawal selia pentadbiran politik yang diskriminasi ini,” katanya.
Walaupun pegawai Perancis mendakwa menghargai kepelbagaian dan kebebasan bersuara, Zakharova berkata, mereka yang menentang berdepan sekatan yang boleh dilihat.
“Prinsip suci untuk memisahkan sukan daripada politik diinjak-injak oleh Barat.
“Mempertimbangkan keadaan ini, Sukan Olimpik tidak lagi memiliki ciri-ciri tersendiri yang membolehkan ia dilihat sebagai pertandingan sukan terbuka, jujur, adil dan demokratik,” katanya.
Sukan Olimpik Paris 2024, bermula pada Jumaat sehingga 11 Ogos, dengan upacara pembukaan diadakan di sepanjang Sungai Seine.










