IPOH: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan peruntukan sebanyak RM14 juta bagi pembinaan Pasar Pasir Pinji yang baharu
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pembinaan semula pasar berusia lebih 50 tahun yang akan menempatkan 214 peniaga itu bakal siap pada 2027.
Katanya, projek pembinaan dijangka bermula tahun ini selepas proses tender bagi lantikan kontraktor dimuktamadkan sebaik penyertaan ditutup pada 4 Ogos depan.
“Pasar Pasir Pinji yang akan siap dibina itu nanti mempunyai beberapa ciri iaitu menjadi pasar pertama yang disertakan dengan Indeks Bangunan Hijau (GBI), reka bentuk yang canggih, mesra alam dan lestari serta selesa kepada peniaga dan pengunjung.
“Setakat ini, reka bentuk bagi pasar ini telah pun siap dan kita hanya menunggu lantikan kontraktor yang dibuat melalui tender terbuka. Kita jangka tahun ini (mulakan projek),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pasar Sementara Pasir Pinji di sini semalam.
Menurut Kor Ming, pihaknya optimis pasar lama dan usang seperti Pasar Pasir Pinji mampu dijadikan sebagai warisan sekali gus produk pelancongan negeri selepas projek bina semula siap dilaksanakan.
Sehubungan itu katanya, dua lagi pasar lama yang berusia lebih 50 tahun di Perak iaitu Pasar Buntong dan Pasar Menglembu antara yang akan diberi perhatian pihaknya untuk bina semula atau naik taraf.
Untuk rekod, pelaksanaan projek pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji yang menelan belanja RM1.48 juta itu bermula pada 5 September 2023 dan siap dibina pada 20 Mei lalu dengan peniaga mula memasuki premis pada awal bulan ini.










