KUALA LUMPUR: Terdapat cubaan beberapa pihak didakwa sebagai mahu mengekalkan kuasa dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan mencadangkan mengenakan deposit RM100,000 untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden.
Cagaran RM50,000 pula kepada calon berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden, RM1,000 bagi Ketua Bahagian dan ratusan ringgit untuk jawatan ahli jawatankuasa bahagian.
Cadangan tersebut didakwa ditimbulkan seorang pemimpin parti ketika Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) baru-baru ini dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan terkejut.
“Di dalam mesyuarat tersebut hanya ada dua orang yang cuba mempersoal cadangan yang dikemukakan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Wan Saiful Wan Jan. Mohamed Azmin bertanya adakah kadar tersebut tidak boleh dikurangkan.
“Wan Saiful didakwa membantah kerana bimbang meletakkan cagaran menyekat ahli kerana tidak mampu bayar untuk bertanding jawatan ketua serta ahli jawatankuasa bahagian untuk bertanding,” dedah satu sumber dekat dengan Bersatu kepada Utusan Malaysia semalam.
Susulan itu, sumber itu berkata, ramai pemimpin politik Bersatu kecewa dan tidak berpuas hati dengan cadangan tersebut.
Antara alasan mereka, tidak semua ahli atau pemimpin politik parti memiliki jumlah wang sebanyak itu jika berhasrat untuk bertanding merebut jawatan dalam parti.
“Secara logiknya..mana ada ahli parti yang ada duit sebanyak itu untuk meletakkan wang deposit untuk bertanding mana-mana jawatan? Ini soal survival pemimpin tersebut atau parti? ” soalnya.
Selain itu, sumber itu berkata, wang yang dilaburkan itu juga dibimbangi ‘hangus’ dan tidak akan dikembalikan dengan alasan mungkin dikatakan bertujuan untuk disalurkan kepada kos pemilihan parti.
DEPOSIT
“Cadangan letak deposit ini, seolah-olah ada pemimpin yang cuba mengekalkan kuasa dengan meletakkan bayaran tinggi kepada ahli dan pemimpin itu sendiri tahu ahli parti memang tidak mampu dengan bayaran tersebut,” katanya.
Kata sumber itu, cadangan tersebut jika diterima hanya akan menguntungkan segelintir pemimpin dan boleh mewujudkan suasana tidak adil pada pemilihan dan juga politik wang.
Bersatu akan mengadakan pemilihan parti pada Oktober ini dan pemilihan itu dijangka tertumpu kepada kerusi Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sejak 2020 disandang belliau mungkin akan dicabar Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bagi jawatan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee juga dijangka mempertahankan jawatan masing-masing. Namun, terdapat pemimpin lain didakwa berhasrat bertanding bagi jawatan sama iaitu Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris, Wan Saiful dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah. – UTUSAN










