Remaja perempuan lemas ketika mandi-manda bersama keluarga

Remaja perempuan lemas ketika mandi-manda bersama keluarga

ANGGOTA bomba memberikan bantuan kecemasan kepada seorang remaja perempuan yang lemas ketika mandi-manda bersama keluarga di anak sungai di Taman Pulai Perdana, Skudai, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kegembiraan lima beradik bermandi-manda di anak sungai bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas dalam kejadian di Taman Pulai Perdana, Skudai di sini, petang semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penguasa Bomba Kanan II Khairul Anwar berkata, ketika kejadian itu, bapa mangsa berusia 33, ada bersama mereka.

Katanya, dalam kejadian itu, remaja perempuan berusia 14 tahun yang lemas  mandi di anak sungai tersebut bersama kakaknya berusia 16 tahun, dan tiga adik berusia lima hingga 12 tahun.

Tambahnya, keluarga itu difahamkan pergi ke kawasan anak sungai tersebut untuk mandi-manda dan memancing.

“Sedang anak-anaknya sedang bermandi, tiba-tiba kelima-lima mereka mula tenggelam setelah berada di kawasan yang lebih dalam.

“Melihat keadaan itu, bapanya bertindak pantas cuba menyelamatkan kesemua mangsa namun gagal menyelamatkan anaknya yang seorang lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Khairul, difahamkan terdapat satu bahagian di kawasan anak sungai itu yang dalam seperti kawah menyebabkan kesemua mangsa hampir lemas.

Khairul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.38 petang dan seramai 10 anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi.

“Remaja perempuan yang lemas dijumpai anggota bomba pada jarak kira-kira empat meter dari tebing. Mangsa diberikan bantuan pernafasan selama 40 minit, namun petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba di lokasi  mengesahkan dia telah meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×