PEKAN: Remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika mengemudi bot Sungai Pahang, berhampiran Kampung Orang Asli Tanah Merah di sini, Sabtu lalu ditemukan pukul 11.44 pagi hari ini.
Mayat Muhammad Danial Fakhrullah Mohd. Azri, 17, ditemukan kira-kira 25 kilometer dari jarak mangsa dipercayai terjatuh.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat mangsa ditemukan oleh penduduk kampung.
Katanya, operasi mencari yang masuk hari ketiga itu bermula pada pukul 8.23 pagi dan terkawal pada pukul 1.35 petang.
“Pasukan bomba membuat pencarian mangsa dengan kaedah surface searching dengan memggunakan bot aluminium dan mencari sekitar tebing sungai.
“Pencarian dibuat dalam lingkungan sejauh 15 kilometer dari tempat mangsa terjatuh dan mangsa dijumpai pada pukul 11.45 pagi sejauh 25 kilometer dari tempat mangsa jatuh oleh orang kampung,” katanya.
Tambahnya lagi, seramai 19 anggota bomba bersama seorang pegawai terlibat dalam operasi mencari yang turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian pukul 9 pagi Sabtu lalu itu, bapa mangsa mengesahkan bot yang berada di tengah sungai adalah miliknya.
“Bot itu dinaiki anaknya dan ayah mangsa memberitahu anaknya biasa mencari ikan di Sungai Pahang berhampiran Kampung Belimbing,” katanya.
Katanya lagi, susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran diaktifkan. – UTUSAN










