BAGAN SERAI: Sebuah pusat hemodialisis persendirian merayu sumbangan daripada syarikat korporat dan orang ramai bagi pembelian tambahan 10 mesin khas dan alat sokongan perubatan untuk kegunaan pesakit kurang berkemampuan.
Pengerusi Pertubuhan Perkhidmatan Hemodialisis Nor Kasih, Datuk Mohamed Nizam Abdullah berkata, sumbangan ituamat penting dan diperlukan bagi menampung keperluan pesakit yang menggunakan perkhidmatan di pusat berkenaan.
Menurutnya, setakat ini pihaknya hanya mempunyai lapan mesin dialisis yang masih berfungsi dengan sempurna manakala selebihnya memerlukan penggantian.
“Keperluan untuk membeli mesin dialisis baharu begitu mendesak untuk membolehkan pesakit yang berdaftar tidak perlu menunggu lama untuk membuat dialisis berdasarkan jadual rutin mereka.
“Selain itu, kami juga memerlukan sumbangan dana untuk pesakit golongan miskin yang tidak dapat tajaan daripada mana-mana pihak bagi mendapatkan rawatan dialisis di sini,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Jelasnya, ada dalam kalangan pesakit hanya mendapat tajaan RM100 hingga RM150 sedangkan kos rawatan sebenar lebih daripada RM200.
Beliau memberitahu, 80 peratus pesakit di pusat itu merupakan golongan miskin daripada pelbagai kaum.
Syarikat korporat atau individu yang ingin menyumbang boleh menghubungi pusat rawatan itu di talian 05-7215786.
Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Maybank 558051347113 atas nama Pertubuhan Perkhidmatan Hemodialisis Nor Kasih Larut Matang dan Selama Perak. – UTUSAN











