GUA MUSANG: UMNO Bahagian Gua Musang dijangka menyerahkan senarai nama calon yang akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri kepada pucuk pimpinan tertinggi parti dalam tempoh dua hari lagi untuk dipertimbangkan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Mohd. Syahbuddin Hasim berkata, proses penyerahan itu akan dilakukan sendiri oleh Ketua Bahagian Tengku Razaleigh Hamzah kepada Presiden selepas proses pengundian selesai kelmarin.
“Nama yang memperoleh undian tertinggi akan usulkan kepada pucuk pimpinan parti.
“Parti kemudian akan membuat penilaian dan seterusnya memutuskan siapa yang layak untuk diangkat sebagai calon,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
ADUN Galas itu memberitahu, beliau menaruh keyakinan tinggi UMNO menerusi Barisan Nasional (BN) mampu merampas semula kerusi tersebut.
Katanya, keyakinan itu bersandarkan kepada rekod perkhidmatan BN yang pernah menang di kawasan tersebut sebelum ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos depan bagi hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) N.43 Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan, tarikh penamaan calon pada 3 Ogos, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 13 Ogos 2024.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim untuk menghentikan PRK atas alasan beliau masih penyandang yang sah.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) lalu, Mohd. Azizi Abu Naim berjaya mengalahkan calon BN Ab. Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.-UTUSAN










