KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang dikesan mengambil kesempatan dengan menaikan harga makan dan barangan sepanjang berlangsungnya proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tidak lama lagi.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, KPDN Kelantan akan melakukan pemantauan rutin sepanjang tempoh berkenaan bagi menggelakan peniaga mengambil kesempatan disebalik ‘kebanjiran’ orang ramai dan petugas parti sepanjang proses berkenaan.
“Jadi saya menyeru kepada penduduk atau orang ramai supaya membuat laporan segera bersama bukti bagi membolehkan tindakan diambil jika wujud pelanggaran.
“Peniaga yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman memberitahu, pihaknya berharap para peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan mengekalkan jualan sebagaimana sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata, KDPN Kelantan memberi jaminan bekalan bahan bakar seperti petrol dan diesel akan mencukupi sepanjang tempoh PRK.
Katanya, langkah-langkah tertentu akan diambil sekiranya terdapat sebarang keperluan untuk memastikan bekalan yang mencukupi bagi pengundi dan masyarakat tempatan.
“Penguatkuasaan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 akan dilakukan jika wujud pelanggaran,” ujarnya.-UTUSAN










