GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli mahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 17 Ogos ini bersikap cakna rakyat sekali gus dapat menjaga kebajikan dan memperjuangkan nasib kaum minoriti yang tinggal di pedalaman.
Seorang penduduk Pos Simpor, Jamaly Ahan, 37, berkata, hal ini kerana mereka memerlukan kemudahan asas terutama jalan perhubungan yang masih belum sempurna untuk urusan harian mereka.
“Selain pembangunan, penduduk Orang Asli juga memerlukan peningkatan taraf ekonomi sesuai peningkatan kos sara hidup hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Along Anjang, 50, pula, Pos Simpor dan Pos Gob masih lagi ketinggalan apabila tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air, jalan raya dan talian telekomunikasi yang baik.
Katanya, dia berharap wakil rakyat kali ini lebih ‘buka mata’ dan dapat membela nasib serta masalah mereka yang tinggal di pedalaman.
“Kami tidak mempersoalkan siapa bakal calon yang akan bertanding nanti, namun apa yang penting masyarakat kami diberi pembelaan.
“Orang Asli kini sudah boleh menilai antara kaca dan intan dan saya percaya pengundi di kalangan kaum Orang Asli akan bijak memilih wakil rakyat mereka pada PRK Nenggiri kali ini,” ujarnya.
Sementara itu, Rubiah Alang, 39, mahu wakil rakyat yang dipilih kerap kali turun dan melihat sendiri keperitan hidup masyarakat di sini.
Katanya, dia tidak mahu wakil rakyat bersifat lepas tangan dan tidak mengambil berat nasib mereka di pedalaman.










