KOTA BHARU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) belum memutuskan sama ada mahu meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos nanti atau sebaliknya.
Setiausaha Agungnya, Amir Hariri Abd. Hadi bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih lagi dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat.
“Sememangnya sebagai sebuah parti politik, MUDA tidak boleh lari daripada membincangkan perkara berkaitan pilihan raya tetapi untuk PRK DUN Nenggiri, masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang keputusan.
“Kita juga akan mengambil pandangan daripada peringkat akar umbi khususnya kepimpinan peringkat negeri pada mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya semasa sidang akhbar di Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.
Amir Hariri memberitahu, pada masa sama Muda berhasrat memainkan peranan dalam PRK DUN Nenggiri termasuk menjadi blok ketiga yang menyampaikan aspirasi, tuntutan serta cadangan yang boleh diambil parti-parti bertanding.
Katanya, semasa PRK DUN Kuala Kubu Bharu Muda turut memainkan tersebut walaupun tidak bertanding.
“Dengan kehadiran semua agensi media, PRK DUN Nenggiri boleh menjadi medan terbaik untuk kami menyampaikan aspirasi parti kepada orang ramai,” ujarnya.
Amir Hariri berkata, setakat ini belum ada perbincangan di peringkat kepimpinan atau jawatankuasa eksekutif Muda untuk sama ada membantu, menjalinkan kerjasama atau menyertai mana-mana gabungan parti politik sekiranya tidak meletakkan calon pada PRK DUN Nenggiri.
“Buat masa ini kita tidak memihak kepada mana-mana gabungan parti politik sedia ada. Malah kami tidak boleh mengatakan akan membantu mana-mana parti bertanding kerana banyak perkara boleh berlaku.
“Sama ada menyampaikan aspirasi atau membantu mana-mana calon yang sesuai atau kita turut meletakkan calon di PRK DUN Nenggiri kerana MUDA mempunyai ramai individu berkaliber sebagai calon. Kalau turut sama bertanding, kita akan hantar calon terbaik,” ujarnya.-UTUSAN










