PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju meletakkan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri, 17 Ogos nanti.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri pimpinan tertinggi mewakili BN dan Pakatan Harapan (PH) pada 9 Julai, kelmarin.
“Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju Barisan Nasional BN meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.43 Nenggiri.
“Pimpinan kedua-dua parti, memberikan komitmen dan sokongan penuh untuk membantu
calon Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Sejumlah 20,259 pemilih terlibat terdiri 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis membabitkan peruntukan kos kira-kira sRM1.6 juta pada PRK DUN Nenggiri.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun menetapkan tarikh penamaan calon pada 3 Ogos, hari pengundian awal pada 13 Ogos dan 17 Ogos sebagai hari mengundi.
Menurut beliau, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula bermula 3 Ogos sehingga pukul 11.59 malam 16 Ogos 2024.
“Lokasi Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi diadakan di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang,” katanya.










