Polis siasat lelaki didakwa ditumbuk Orang Besar Undang Luak Rembau - Utusan Malaysia

Polis siasat lelaki didakwa ditumbuk Orang Besar Undang Luak Rembau

AHMAD DZAFFIR MOHD. YUSSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis kini menyiasat insiden seorang lelaki yang didakwa ditumbuk oleh seorang lelaki lain yang merupakan Orang Besar Undang Luak Rembau dalam kejadian di Balai Undang Luak Rembau, di sini pada 4 Julai lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 6.12 petang hari yang sama ketika lelaki tersebut menghadiri Majlis Kerapatan Lembaga Suku Biduanda, Orang Besar Undang dan Buapak Lapan Kampung. 

“Mangsa telah dirujuk ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar. Kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Perintah Menjalankan Siasatan (OTI) telah dipohon dan diperolehi daripada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan pada 5 Julai lalu bagi menjalankan siasatan. 

“Seramai 17 orang saksi juga telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau sebarang spekulasi kerana siasatan lanjut masih diteruskan.

Terdahulu, tular laporan polis yang dibuat oleh mangsa iaitu seorang pesara berusia berusia pertengahan 60-an mendakwa ditumbuk di bahagian kiri belakang muka.

Tumbukan itu juga didakwa mengenai sekitar kawasan bahagian telinga kiri dan rahang belakang kiri mukanya 

Difahamkan, Majlis Kerapatan Lembaga Suku Biduanda, Orang Besar Undang dan Buapak Lapan Kampung itu diadakan sebagai sebahagian proses mencari individu yang layak menjadi Undang Luak Rembau yang baharu.

Ia susulan kekosongan jawatan berkenaan selepas penyandangnya, Allahyarham Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman meninggal dunia pada 15 Mei lalu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN