KATHMANDU: Nepal bersedia untuk mempunyai kerajaan campuran baharu yang dipimpin ahli politik, K.P. Sharma Oli selepas Perdana Menteri, Pushpa Kamal Dahal hilang sokongan dalam undi percaya Parlimen, semalam.
Negara itu tidak stabil dari segi politik sejak ia memansuhkan monarki berusia 239 tahun pada 2008, bermakna kerajaan baharu di bawah Oli akan menjadi yang ke-14 sejak itu.
Politiknya dipantau rapat oleh dua negara jiran terbesarnya, China dan India, yang banyak melabur di negara Himalaya itu semasa mereka berebut pengaruh.
Dahal, 69, terpaksa meletak jawatan atau membuktikan majoritinya di Parlimen selepas sekutu terbesarnya, parti liberal Communist Unified Marxist Leninist (UML), yang diketuai Oli, menarik balik sokongan minggu lalu.
Oli yang pernah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali sebelum ini, mencapai perjanjian dengan Kongres Nepal (NC) pada akhir Jun, memastikan jumlah kerusi mencukupi untuk majoriti.
Ini bermakna, beliau bersedia untuk mentadbir, tetapi tiada tarikh rasmi ditetapkan untuk kerajaan baharu memegang jawatan.
Dahal, bekas ketua pemberontak Maois, memerlukan sekurang-kurangnya 138 undi yang memihak kepadanya dalam dewan dianggotai 275 ahli untuk kekal berkuasa.
Sebanyak 63 daripada 258 ahli Parlimen yang hadir mengundi beliau, manakala 194 yang lain memilih untuk menentang dan seorang berkecuali.
“Undi percaya yang diminta oleh Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal ditolak,” demikian pengumuman Speaker Parlimen, Dev Raj Ghimire selepas undian dikira.
Dalam penggal ketiganya sebagai perdana menteri yang bermula Disember 2022, Dahal menukar rakan gabungan utamanya sebanyak tiga kali dan perlu mendapatkan undi percaya lima kali, termasuk yang beliau kalah pada Jumaat.
NC ialah parti terbesar di Parlimen dan UML pula parti kedua terbesar.- REUTERS










