KANGAR: Bermula sekadar minat dalam memikat burung, namun hobi Faizal Ahmad,46, dari Kampung Warna-Warni Seberang Ramai di sini mampu menjadi sumber pendapatan sampingan buatnya.
Faizal sudah bergiat aktif memikat burung merbuk sejak 15 tahun lalu dengan menggunakan sarung perangkap atau lebih dikenali sebagai jebak.
Katanya, dia mula terlibat dengan hobi berkenaan setelah mengikut rakannya memikat burung dan lama kelamaan perasaan minat tersebut timbul secara sendiri.
“Pada mulanya saya hanya memikat burung ini sekadar suka-suka ikut kawan namun lama kelamaan minat itu timbul sendiri sehinggakan mampu meraih pendapatan sampingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Faizal yang juga merupakan penjawat awam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkata, buat masa ini, dia mempunyai sekitar 30 ekor burung merbuk pemikat yang akan dipasarkan mengikut kriteria-kriteria tertentu.
Katanya, harga burung merbuk yang dipasarkannya itu bergantung kepada kualiti bunyi dihasilkan bermula dari RM250 sehingga mencecah RM500.
“Sekiranya alunan bunyi burung merbuk itu lebih besar maka nilainya lebih tinggi dan mendapat permintaan,” katanya.
Faizal berkata, dia kerap meluangkan masa menguruskan semua burung merbuk itu pada waktu petang selepas bekerja dan cuti hujung minggu.
Katanya, burung merbuk mengambil masa sekitar satu hingga tiga tahun untuk dilatih bagi mengeluarkan bunyinya tersendiri.
“Walaupun sedikit leceh namun aktiviti ini sememangnya mempunyai peminat tersendiri malah sejak kebelakangan ini, saya juga lihat hobi memikat burung kembali mendapat perhatian khususnya daripada golongan muda.
“Pada saya ini adalah sesuatu yang baik malah boleh menjadikan komuniti bagi penggemar hobi ini bertambah,” katanya.










