MUAR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersikap amat terbuka sekiranya jawatan Presiden UMNO yang disandangnya sejak 2018 dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.
Walau bagaimanapun, tegasnya, keputusan itu tidak boleh dibuat secara bersendirian, sebaliknya bergantung dengan dukungan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Kita lihat situasi sesuatu tahun atau tarikh yang ditentukan itu dan tentunya seseorang calon itu tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian, ia bergantung kepada dukungan daripada para perwakilan.
“Saya amat terbuka dalam perkara ini, yang penting UMNO harus terus dipertahankan, UMNO harus terus revelan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Muar di Dewan UMNO Bahagian Muar, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Ashari Md. Sarip.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika ditanya tentang pendiriannya sekiranya jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan bersedia mempertahankan jawatannya sekiranya dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, berdasarkan perlembagaan UMNO, pemilihan parti akan diadakan setiap tiga tahun.
“Di sana ada klausa bahawa pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan, ertinya ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam (mesyuarat) Majlis Tertinggi.
“Jangan fikirkan barisan sekarang, tentang soal pertandingan, yang penting ialah perkukuhkan UMNO,” katanya.
Tegasnya, fokus lebih utama ketika ini adalah untuk memperkukuhkan parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang. – UTUSAN










