KUANTAN: Persatuan Badminton Pahang mendapat tonik berharga bagi melahirkan lebih ramai pelapis negeri dan negara apabila terus menerima tajaan barangan sukan daripada syarikat terkemuka, Felet.
Presiden Persatuan Badminton Pahang, Tengku Aidy Ahmad Shah Tengku Kamil Ismail berkata, tajaan itu diberikan kepada 30 pemain dan tiga jurulatih selama dua tahun sehingga tahun depan.
“Tajaan barangan membabitkan raket, beg raket, baju, seluar, kasut dan stokin itu diserahkan pihak Felet menerusi Pengarah Urusannya, Datuk Teo Tong Wah.
“Pihak persatuan berterima kasih kepada Felet kerana tajaan ini membantu dan memberikan inspirasi kepada pasukan badminton Pahang terutama pemain dalam menghadapi pelbagai kejohanan anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Ia juga memberikan semangat dan motivasi kepada pihak persatuan untuk terus melahirkan pemain badminton terbaik negeri dan negara,” katanya di sini hari ini.
Tengku Aidy berkata, pihak Felet sebelum ini sudah 10 tahun menaja Persatuan Badminton Pahang membabitkan 24 pemain dan tiga orang jurulatih.
“Kali ini kerjasama dengan pihak Felet diteruskan lagi dan kita mahu kerjasama kali ini lebih bermakna menerusi idea-idea baharu demi kemajuan serta perkembangan sukan badminton negeri Pahang.
“Pihak Felet sendiri teruja apabila dimaklumkan tentang perkembangan Persatuan Badminton Pahang yang semakin baik dan melahirkan pemain berkualiti.
“Jadi kita mahu tajaan kali ini bukan sekadar tajaan semata-mata, tetapi kita hendak lebih promosi dan kerjasama baik dan pemain muda serta juara yang kita lahirkan mendapat produk terbaik khususnya daripada pihak Felet,” katanya.
Beliau berkata, tajaan berterusan pihak Felet merupakan pencapaian membanggakan Persatuan Badminton Pahang kerana ia bukan mudah diperoleh jika tiada kejayaan dicatat oleh pasukan dan pemain.
“Insya-Allah kita akan terus melakukan yang terbaik demi Persatuan Badminton Pahang. Matlamat kita menerusi kerjasama dengan pihak Felet adalah untuk terus mencipta kejayaan dan melahirkan ramai pemain terbaik negara dan negeri,” katannya.
Beliau berkata, sehingga kini, seramai tujuh pemain daripada Persatuan Badminton Pahang bermain mewakili negara.
“Mereka adalah Lai Pei Jing, Choi Jiang Sheng, Lim Boon Le, Marcus Hang Yug Hwei, Teoh Chong Yee, Mirza Batrisyia Agnia Nazri dan Chong Wan Xin,” katanya. – UTUSAN










