Permatang Duku tawar keunikan untuk pelancong

Permatang Duku tawar keunikan untuk pelancong

MENUNGGANG kenderaan serba rupa bumi (ATV) antara tarikan di Kampung Permatang Duku, Benut, di Pontian. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kawasan 5 Mukim Benut mengambil langkah awal bagi sama-sama menjayakan Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ26).

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusinya, Hamid Amin @ Abd. Latip berkata, sebagai perkampungan tradisional yang pernah memenangi pelbagai anugerah di peringkat daerah, nege­ri dan kebangsaan, kelebihan itu akan digunakan bagi menarik kedatangan pelancong.

Katanya, Kampung Permatang Duku merupakan johan Anugerah Desa Cemerlang peringkat kebangsaan pada 2010 dan tempat ketiga Anugerah Desa Sejahtera (2012).

Menurut Hamid, pihaknya turut mempunyai lapan inap desa termasuk sebuah rumah berusia 80 tahun di mana Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pernah menginap di situ ketika program Kembara Mahkota Johor pada 2005.

“Kami sedia untuk membugarkan kembali suasana keceriaan dan keindahan kampung ini bersama kira-kira 2,000 penduduk sebagai persiapan menyam­but TMJ26 nanti.

“Tentunya pelancong mempunyai pelbagai cita rasa termasuk suasana perkampungan kami yang mempunyai pelbagai tarikan termasuk seni dan budaya, dusun buah-buahan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan sebagainya,” katanya.

Beliau demikian ketika ditemui selepas memperkenalkan satu lagi produk pelancongan baharu, iaitu aktiviti menunggang kenderaan serba rupa bumi (ATV) sejauh tiga kilome­ter mengelilingi persekitaran kampung.

“Kami berharap dapat memenuhi keinginan dan kehendak pengunjung apabila melawat kampung ini dengan pelbagai daya tarikan menarik untuk mereka rasai keunikannya,” ujarnya.

Katanya, selain itu, Kampung Permatang Duku terkenal de­ngan lokasi pertandingan gasing pangkah serta pembuatannya dengan adanya Gelanggang Ga­sing Tunas Warisan (GGTW).

Tambah Hamid, setiap tahun sempena sambutan Hari Kebangsaan, GGTW menjadi tumpuan pemain gasing dari seluruh Johor menunjukkan kemahiran dan kebolehan masing-masing.

Jelasnya, kampung itu juga mempunyai Kumpulan Tunas Warisan Permatang Duku dengan persembahan muzik gamelan, wayang kulit dan seni barongan di bawah teraju penggiatnya, Amar Abu.

“Kami juga mempunyai satu-satunya padang golf mini yang dikendalikan oleh seorang bekas kedi, Wakiman Radi, 70 dengan melatih murid-murid sekolah bermain golf pada waktu lapang,” ujar Hamid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini