JOHOR BAHRU: UMNO Johor bukan sahaja perlu terus memperkuatkan parti bagi memenangi hati rakyat, malah mengelakkan sengketa dan perselisihan yang membawa perpecahan dalaman.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu perlu supaya UMNO Johor terus dapat mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu dan kekal mentadbir negeri ini bagi penggal yang akan datang.
“Kita risau segala yang diusahakan untuk membangunkan negeri ini termasuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) tidak dapat dikecapi, orang lain yang makan hasilnya,” katanya semasa merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Johor Bahru, di sini yang turut dihadiri Ketuanya, Datuk Yahya Jaafar.
Mohamad berkata, bagi mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), UMNO perlu memperkuatkan parti terlebih dahulu dan jangan sanggah menyanggah antara satu sama lain.
Beliau mengakui masih ada UMNO bahagian yang berpecah-belah dan bersengketa sehingga menjejaskan parti tersebut.
“Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana tempoh PRU16 pada 2027 tidak begitu jauh, mungkin ia boleh diadakan lebih awal, ketika UMNO masih bermasalah.
“Jadi, marilah kita kembali merapatkan saf dan kembali menjadi wadah perjuangan orang Melayu, agenda parti yang diwarisi ini perlu diteruskan sebagai tempat berlindung bangsa Melayu,” katanya.
Menurutnya, tidak mustahil UMNO yang memenangi 30 kerusi pada PRU15 akan kembali kuat pada pilihan raya akan datang dan mampu bertanding secara solo.
“Kalau kita dah kuat pada ketika itu, kenapa tidak? Tidak ada masalah, nilai diri kita pada ketika itu, bukan sekarang, sekarang adalah proses memperkuatkan dan memperkukuhkan parti terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN










