GENEVA: Hampir 40 juta orang hidup dengan virus HIV tahun lepas, dan lebih sembilan juta daripadanya tidak mendapatkan rawatan.
Akibatnya, setiap minit ada seseorang yang meninggal dunia berpunca daripada penyakit AIDS, menurut laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterbitkan pada Isnin.
Walaupun terdapat kemajuan dalam usaha untuk menamatkan pandemik AIDS global, laporan tersebut mendedahkan perkembangannya perlahan, pembiayaan semakin berkurang dan jangkitan baharu meningkat di tiga kawasan.
Ia melibatkan Timur Tengah dan Afrika Utara, Eropah Timur dan Asia Tengah serta Amerika Latin.
Pada 2023, kira-kira 630,000 orang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan AIDS, penurunan ketara daripada 2.1 juta kematian pada tahun 2004.
Menurut laporan UNAIDS, agensi PBB yang mengetuai usaha global untuk mengakhiri pandemik, angka terbaharu itu lebih dua kali ganda daripada sasaran 2025, iaitu kurang daripada 250,000 kematian.
Laporan berkata, ketidaksamaan jantina memburukkan lagi risiko untuk kanak-kanak perempuan dan wanita, merujuk kadar HIV yang sangat tinggi dalam kalangan remaja dan wanita muda di beberapa bahagian Afrika.
HIDUP DENGAN HIV
Kadar jangkitan baharu di seluruh dunia dalam kalangan komuniti terpinggir yang menghadapi stigma dan diskriminasi, seperti pekerja seks, individu terlibat hubungan sejenis serta penagih dadah, meningkat kepada 55 peratus pada 2023 berbanding 45 peratus pada 2010, katanya.
Pengarah Eksekutif UNAIDS, Winnie Byanyima berkata, pemimpin dunia berjanji untuk menamatkan pandemik AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
“Dan mereka boleh menepati janji tersebut, tetapi hanya jika mereka memastikan tindak balas terhadap HIV memiliki sumber daya yang diperlukan dan hak asasi manusia semua orang dilindungi,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada janji itu, pemimpin berikrar untuk mengurangkan jangkitan HIV baharu tahunan di bawah 370,000 menjelang 2025.
Tetapi pada 2023, laporan berkata, jangkitan baharu direkodkan lebih tinggi sehingga tiga kali ganda iaitu 1.3 juta.
Tahun lepas, daripada 39.9 juta orang di seluruh dunia yang hidup dengan HIV, 86 peratus daripadanya mengetahui mereka dijangkiti, 77 peratus menerima rawatan dan 72 peratus virusnya berjaya dikawal.
Pengarah Pejabat UNAIDS di New York, Cesar Nunez dalam satu sidang akhbar berkata, terdapat kemajuan dalam rawatan HIV – suntikan yang boleh bertahan dalam tubuh selama enam bulan, tetapi dua dosnya memerlukan kos AS$40,000 (RM186,946) setahun, yang tidak mampu dibeli oleh semua orang.
Beliau berkata, UNAIDS meminta pengeluar untuk menyediakannya pada kos yang lebih rendah, terutama untuk negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Pada masa ini, rawatan harian dengan pil berharga sekitar AS$75 (RM350) seorang untuk setahun, membolehkan banyak negara meningkatkan bilangan penghidap HIV untuk menerima rawatan.










