PETALING JAYA: Satu siasatan dijalankan berhubung perhimpunan bantahan terhadap kerajaan yang diadakan di kawasan letak kereta awam di Kompleks Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, kelmarin.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, ia susulan tindakan pihak penganjur yang tetap mengadakan perhimpunan itu walaupun dinasihatkan polis sebelum ini bahawa pemilik premis tidak memberi kebenaran penggunaan lokasi berkenaan.
Kata beliau, satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Seramai 12 individu termasuk penganjur sudah dikenal pasti untuk dipanggil bagi memberi keterangan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, kumpulan baju hitam dikatakan menyertai perhimpunan dinamakan ‘Demo Rakyat Lawan Anwar’ yang diadakan bermula selepas solat Asar di parkir Kompleks Seri Perdana.
Laluan masuk ke kediaman rasmi Perdana Menteri itu dipasang penghadang berikutan perhimpunan berkenaan tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya selaku pemilik tanah.
Sementara itu, penganjur yang juga Ketua Penggerak Demi Negara, Aidil Yunus mengesahkan beliau dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya esok susulan penganjuran ‘Himpunan Rakyat Lawan Anwar’, petang semalam.
Beliau yang dikenali sebagai YB Viral berkata, beliau telah dihubungi oleh pegawai polis IPD Putrajaya semalam berhubung perkara itu.
Katanya, selain beliau, individu lain yang berucap pada himpunan sama juga akan dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis.
“Esok (petang ini) semua yang bercakap di himpunan dan pihak penganjur kena hadir IPD Putrajaya untuk disiasat. Sidang akhbar akan diadakan pada pukul 3.30 petang di luar IPD Putrajaya,” katanya ketika dihubungi.
Beliau juga mengesahkan akan hadir ke IPD Putrajaya pukul 2 petang esok (hari ini) bersama-sama individu lain yang berucap pada himpunan itu.
Antara individu yang berucap pada himpunan semalam termasuk aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard; Ahli Jawatankuasa Badan Pimpinan Negeri, Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali.
Individu lain termasuk Mohd Zubir Embong, Alex Shee, Michelle Foo, Dayangku Intan dan Olivia (Mak Iban Olivia) serta beberapa lagi individu.
Media sebelum ini melaporkan perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku pemilik lokasi berhimpun.










