KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setakat ini mengekalkan pertandingan bagi jawatan-jawatan lain termasuk Timbalan Presiden pada pemilihan parti akan datang.
Biarpun semalam telah diumumkan bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Peja) sebagai Timbalan Presiden namun, jawatan itu masih terbuka untuk dipertandingkan.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, biarpun jawatan itu masih terbuka untuk dipertandingkan, tetapi rundingan di peringkat pimpinan parti telah dibuat dan dipersetujui oleh perwakilan bahawa Ahmad Faizal berundur sebagai Timbalan Presiden.
“Peja seorang yang berjiwa besar, ini satu pengorbanan yang dibuat oleh seorang Timbalan Presiden,” katanya semasa sidang akhbar sempena sesi taklimat peraturan Persidangan Bersatu bagi Sabah dan Sarawak, di sini hari ini.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau dengan rela hati berundur dan tidak bertanding mempertahankan jawatan disandangnya pada pemilihan parti akan datang.
Bekas Menteri Besar Perak itu berkata, sebagai salah seorang yang mengasaskan Bersatu, beliau mahu melihat parti itu berjaya dan beliau yakin dengan perjuangan parti yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dalam perundingan yang dibuat, kita telah bersetuju untuk saya berundur dan tidak menawarkan diri sebagai Timbalan Presiden, dan Hamzah diminta oleh akar umbi serta kepemimpinan untuk mengambil alih.
“Tentunya peranan saya dan rakan-rakan lain tetap berada dalam kepemimpinan dan ini penting bagi memastikan pasukan Bersatu terus kekal berjuang. Perjuangan untuk rakyat akan kita utamakan melebihi kepentingan mana-mana ahli politik atau kerjaya seseorang itu,” katanya.
Menurut beliau, keputusan yang dibuat itu menunjukkan pemimpin Bersatu boleh berunding untuk memastikan tiada pertembungan.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan jawatan Timbalan Presiden Bersatu akan diambil alih oleh Hamzah Zainudin pada pemilihan akan datang.
Kata beliau, Ahmad Faizal bersedia berundur dan menawarkan diri untuk jawatan Naib Presiden manakala, jawatan Setiausaha Agung akan ditawarkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – UTUSAN










