Pelajar dakwa hampir diculik elak dimarahi ibu lambat pulang sekolah - Utusan Malaysia

Pelajar dakwa hampir diculik elak dimarahi ibu lambat pulang sekolah

MOHD. SOHAIMI ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun sanggup mereka cerita bahawa dia hampir diculik individu tidak dikenali yang menaiki van putih bagi mengelak dimarahi ibunya kerana lambat pulang dari sekolah.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, siasatan yang dijalankan mendapati dakwaan kejadian itu berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera ketika remaja itu ingin pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan pada 6.45 petang, 3 Jun lalu di Taman Ulu Tiram, dekat sini adalah tidak benar.

Pihaknya menerima laporan itu kelmarin daripada seorang wanita berusia 49 tahun yang mengadu tentang cubaan melarikan anak lelakinya oleh individu tidak dikenali.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil siasatan mendapati kejadian tidak berlaku, sebaliknya hanya rekaan remaja itu bagi menarik perhatian pengadu selepas ditegur lewat menaiki van untuk pulang ke rumah. Polis mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memberi perhatian serta mengawasi pergerakan anak sama ada ketika berada di rumah atau luar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, pihak polis mengesan satu hantaran tular dalam platform media sosial mengandungi laporan polis dengan kapsyen ‘kes culik budak bukit tiram’ yang dimuat naik oleh pengendali akaun Facebook Warga Sungai Tiram & Ulu Tiram.

Walau bagaimanapun, hantaran tular itu telah dipadam dan pautan tersebut tidak lagi dapat diakses.

Menerusi maklumat yang tular, remaja itu mendakwa dihampiri seorang lelaki yang memakai topeng muka dan cermin mata hitam serta memiliki pisau di bahagian belakang badan.

Mohd. Sohaimi menasihati orang ramai supaya tidak mudah panik atau membuat spekulasi terhadap sesuatu maklumat tanpa mengetahui kesahihannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×