Pelajar cemerlang SPM semua kaum boleh ke matrikulasi

Pelajar cemerlang SPM semua kaum boleh ke matrikulasi

Anwar Ibrahim (dua kiri) bersama Steven Sim Chee Keong (empat kiri) melawat kelas AI Next Gen Regognition selepas merasmikan Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas bakal diberikan ruang melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu bagi memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum untuk mendapat tempat pendidikan lebih tinggi.

Katanya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan memperincikan keputusan itu esok.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, kerajaan akan menjamin hak pendidikan untuk bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apabila anak-anak lulus SPM (memperoleh keputusan cemerlang) yang kemudian berdepan keterbatasan ruang pendidikan (dapat tempat pengajian tinggi) maka timbul masalah.

“Jemaah Menteri dengar keluhan rakyat dan melihat dan mengkaji cadangan.

“Jadi, kerajaan memutuskan semua lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas tanpa mengira kaum Melayu, Cina dan India serta lain-lain harus diberikan jaminan tempat oleh kerajaan,” katanya dalam Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, semalam.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau berbangga sambutan anak-anak muda terhadap program NTW yang amat memberangsangkan sekali gus menunjukkan mereka wajar diberi ruang dalam pelbagai sektor.

Katanya, pendekatan ini selari dengan pendekatan ekonomi negara untuk memacu pertumbuhan lebih tinggi dengan menarik peluang pelaburan.

“Ini maknanya kalau kerajaan beri peluang, anak-anak muda tidak mempersiakan. Usaha dibuat Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp ini telah memberi jaringan lebih luas khususnya membabitkan kawasan pendalaman tanpa mengira kaum,” katanya.

NTW yang berlangsung sejak 24 Jun lalu berjaya menerima 375,817 penyertaan dengan 65,115 kursus kemahiran di samping penglibatan 1,400 penyedia kursus.

Program itu merupakan satu minggu penuh dengan latihan dan aktiviti dengan menghimpunkan organisasi dan individu pelbagai latar belakang serta industri untuk berkongsi pembelajaran dan pembangunan bakat.

Semua latihan ditawarkan secara percuma itu berlangsung di pelbagai lokasi di seluruh negara itu serta melalui pelbagai mod dan platform pembelajaran.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya mahu merancakkan kemahiran rakyat menerusi inisiatif dibuat NTW.

Katanya, lebih 65,000 kursus latihan percuma yang menelan kos RM323 juta telah diadakan di seluruh negara sejak NTW bermula.

Paling membanggakan katanya, NTW telah menerima penyertaan seawal usia empat tahun hingga 73 tahun.

“Dalam dua hari ini, hampir 3,000 peserta mengikuti 70 kursus latihan dalam NTW 2024 yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil,” katanya.

Menurut Steven Sim, ia menunjukkan rakyat mahu meningkatkan kemahiran dan bakat masing-masing menerusi pelbagai kursus latihan dianjurkan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN