NIBONG TEBAL: Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) tidak menolak kemungkinan menyertai parti gabungan, Perikatan Nasional (PN) pada masa depan.
Pengerusi Majlis Pimpinan Interim Urimai, Dr. P. Ramasamy berkata, penyertaan itu dibuat demi kebaikan semua kaum di Malaysia.
“Saya rasa kalau mereka (pemimpin PN atau Pas) datang jumpa sama saya atau saya jumpa mereka (untuk berbincang) tak ada masalah. Kita juga sudah jumpa Ustaz Fauzi (Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff) dan kita tanya macam mana nak memperkuatkan pembangkang di Pulau Pinang ini.
TERBUKA
“Jadi, kita terbuka. Kalau kita (Urimai) boleh terima dia (Pas dan PN) punya program (agenda) dan mereka juga boleh terima program kita, jadi, apa masalah? Ini untuk kebaikan Malaysia juga. Bukan kaum India sahaja, tapi, kaum Melayu, Cina dan semua.
“Saya harap bahawa politik ini akan berubah menjadi lebih progresif pada masa depan dan mewakili semua kaum di Malaysia. Jadi, kita rasa boleh (bekerjasama). Pas bukan harimau, Urimai pun bukan harimau juga. kita berunding sesama manusia,” katanya.
Ramasamy berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan Urimai akan menjalin kerjasama dengan Pas dan PN pada masa depan.
Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP berkata, beliau melihat Pas khususnya ketika ini sebagai sebuah parti yang bercirikan nasional dan tidak terhad kepada negeri-negeri tertentu sahaja.
“Saya melihat Pas bukan parti untuk negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah sahaja dan mereka juga kini bersikap lebih terbuka.
“Mereka juga ada beritahu saya mahu buat perubahan dan mereka sekarang bukan macam dahulu. Sekarang, (Pas) ada aspirasi nasional juga. Jadi, saya rasa Urimai ada tempat untuk itu,” jelasnya.
KECEWA
Dalam perkembangan lain, Ramasamy kecewa kerana usaha mereka untuk mendaftarkan parti itu secara rasmi ditolak Rabu lalu selepas lapan bulan mengemukakan permohonan berkaitan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Katanya, keputusan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ia adalah sesuatu yang boleh dijangka berdasarkan perkembangan politik semasa tanah air ketika ini.
“Kami ada masa 30 hari untuk kemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dan pasukan undang-undang kami juga sedang mengambil langkah-langkah untuk mengemukakan rayuan tersebut selain mengambil tindakan lanjut menurut lunas undang-undang,’’ katanya. – UTUSAN









