Salah guna kuasa: Ramasamy dijangka didakwa esok

Salah guna kuasa: Ramasamy dijangka didakwa esok

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth esok berhubung kes salah guna kuasa melibatkan pembelian sebuah Golden Chariot selain pengagihan bantuan kebajikan melalui Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB).

Setiausaha Majlis Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), M. Satees berkata, Ramasamy sebelum itu telah diminta hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang semalam dan dimaklumkan bahawa beliau akan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

“Pertuduhan ini dipercayai berpunca daripada isu yang timbul sejak 2017 iaitu melibatkan pemerolehan aset dan pengurusan dana kebajikan masyarakat India di Pulau Pinang. Jadi, kami jangka ia berkaitan pemerolehan Golden Chariot pada tahun 2017 dan bantuan kebajikan yang disalurkan melalui PHEB,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Pengerusi PHEB, R.S.N. Rayer telah menyerahkan penemuan PHEB daripada audit forensik dalaman kepada SPRM. Menurut Rayer, audit itu telah mendedahkan beberapa petunjuk, tetapi, beliau tidak menjelaskannya secara terperinci.

Mengulas lanjut, Satees berkata, isu-isu itu telah lama dijadikan ‘senjata’ politik oleh pihak tertentu untuk ‘menyerang’ Ramasamy dan ia telah pun dilapor kepada SPRM sejak beberapa tahun yang lalu.

Jelas Satees, pertuduhan itu juga bermotifkan politik dan beliau difahamkan bahawa beberapa pemimpin DAP secara konsisten turut mendesak SPRM untuk mendakwa Ramasamy dalam isu ini.

“Ramasamy dan Urimai akan melawan pertuduhan ini melalui saluran undang-undang dan kami percaya kebenaran akhirnya akan menang. Kuasa boleh digunakan untuk menindas, tetapi, kuasa bukanlah sesuatu yang kekal,” katanya.

Sementara itu, SPRM Pulau Pinang bagaimanapun masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pertuduhan tersebut setakat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN