SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kehilangan kutipan hasil lebih RM500,000 gara-gara pemilik produk dan perkhidmatan yang memasang papan tanda iklan haram dan tanpa kelulusan.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim berkata, jumlah berkenaan berdasarkan anggaran iaitu RM1,200 untuk cukai taksiran dan tidak termasuk permit bangunan dan lesen iklan serta tanah.
“Secara mudahnya anggaran sekitar RM1,200 sehingga RM1,500 kutipan hasil cukai taksiran boleh diperoleh kerajaan negeri dan juga PBT untuk diberi kelulusan permit bagi satu papan iklan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Operasi Pemantauan Papan Tanda Iklan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan yang dilaksanakan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS)
Yang turut serta, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali.
Menurut Mohd. Zafir, punca kegagalan syarikat terlibat untuk mematuhi peraturan dan sewenang-wenangnya menaikkan papan iklan tanpa kelulusan, adalah mungkin kerana mencuba nasib kerana beranggapan tiada tindakan diambil.
“Ada juga didapati kes berulang dimana PBT telah merobohkan papan iklan haram tersebut namun tidak lama kemudian, papan iklan haram dinaikkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Perkara ini juga dikenalpasti turut berlaku di beberapa kawasan di sekitar Bandar Ainsdale dan saya harap ia dapat diambil tindakan segera,” katanya.
Mengulas mengenai operasi tersebut, beliau berkata, MBS telah berjaya merobohkan sebanyak 145 unit papan iklan haram yang dipasang di sepanjang laluan Lebuh Raya Utara Selatan sejauh 45 kilometer iaitu dari arah Bukit Mahkota sehingga ke Pedas (satu arah) daripada jumlah keseluruhan 225 unit tanda roboh yang dikeluarkan pada tahun ini.
“Usaha penguatkuasaan akan diteruskan lagi bagi menyelesaikan baki papan iklan haram dan dijangka akan dapat diselesaikan menjelang 31 Ogos depan.
“Tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan serta Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan dengan mengeluarkan kompaun, notis, tanda dan perobohan, “katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dengan meroboh struktur haram perlu dilakukan bagi menjaga keselamatan pengguna laluan PLUS.
“Selain membahayakan pengguna jalan raya, kewujudan struktur papan tanda haram ini juga memberi tanggapan negatif. Kalau dibina tanpa kelulusan yang sah akan menimbulkan risiko dan memberi ancaman keselamatan kepada pengguna jalan raya selain mencacatkan pemandangan dan menjejaskan perancangan PBT,” jelasnya.
Menurutnya, MBS telah pun memberikan notis yang secukupnya kepada pemilik-pemilik papan iklan haram ini namun tidak mendapat sebarang maklum balas yang sepatutnya.
“Tindakan penguatkuasaan yang sama juga boleh diambil MBS jika mendapati terdapat papan iklan haram di pasang di kawasan pentadbiran MBS termasuk di bandar Seremban,” ujarnya lagi.-UTUSAN.










