PETALING JAYA: Empat tangki yang mengandungi campuran garam dan air digunakan dalam operasi pembenihan awan (OPA) yang bermula hari ini sehingga Rabu depan.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), kerjasama OPA itu melibatkan Agensi Pengurusan Bencana (Nadma); Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Met Malaysia.
Katanya, ia turut disertai oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Lembaga Sumber Asli Negeri Kedah; IADA Kerian dan Kementerian Pertanian dan Kerjasama.
“Bagi melaksanakan OPA, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang dengan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan oleh pihak MET Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Faceboook.
Media sebelum ini melaporkan , kerajaan bersetuju melaksanakan OPA di Perak dan Kedah bedah bagi tujuan pertanian dan kegunaan air.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, usaha itu merupakan salah satu dari usaha kerajaan untuk menangani impak fenomena cuaca panas dan Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September ini.











