NSFC terus cari tajaan, kukuhkan kewangan - Utusan Malaysia

NSFC terus cari tajaan, kukuhkan kewangan

MUSTAPHA Nagoor (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian di antara NSFC yang diwakili Muhammad Faliq (dua dari kiri) dan Calvin Yee di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tidak mahu dihambat dengan masalah kewangan Kelab Bolasepak Negeri Sembilan (NSFC) akan terus berusaha mencari dana penajaan khususnya menerusi penglibatan syarikat-syarikat korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom berkata, kehadiran syarikat-syarikat tersebut yang tampil menghulurkan tajaan sudah tentu mengukuhkan kewangan pasukan yang bukan hanya perlu bersaing di Liga Super tetapi juga untuk menampung kos beberapa lagi pasukan NSFC.

“NSFC bukan hanya ada pasukan Liga Super tetapi juga ada pasukan bawah 23 tahun, bawah 20 tahun dan bawah 18 tahun sehinggalah kepada pasukan akademi. Tajaan-tajaan ini sudah tentu akan banyak membantu kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani perjanjian di antara NSFC dan syarikat air minuman dan mineral, Jant Marketing Sdn. Bhd. (Jantzen) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhammad Faliq mewakili NSFC manakala Jantzen diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Calvin Yee Jong Hoe.

Yang hadir sama menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu ialah, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Mustapha Nagoor.

Muhammad Faliq dalam pada itu berkata, kerjasama bersama Jantzen itu menyaksikan syarikat tersebut menaja produk minuman bagi kegunaan pasukan-pasukan NSFC bukan hanya ketika perlawanan tetapi juga semasa latihan, sekali gus menjimatkan kos pasukan,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi mengukuhkan lagi kewangan kelab, NSFC sebelum ini juga telah memperkenalkan pakej tajaan Corporate Jangs yang menawarkan syarikat perniagaan dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Negeri Sembilan untuk turut serta memajukan pasukan bola sepak NSFC.

“Ia melibatkan pakej tajaan serendah RM10,000, memang dapat sambutan, banyak yang telah tampil membantu pasukan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN