SEREMBAN: Kelab bola sepak Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini melancarkan pembukaan NSFC Sports Physio Centre di Wisma Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dekat Rahang di sini sebagai pusat fisioterapi yang turut dibuka kepada orang awam.
Majlis perasmian pusat berkenaan telah disempurnakan oleh Presiden PBNS serta Pengerusi NSFC, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
NSFC Sports Physio Centre yang baharu ditubuhkan pada tahun ini merupakan hasil usahasama antara NSFC dengan PhysioDoc.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom, NSFC Physio Centre dibuka bertujuan menyediakan fasiliti fisioterapi terbaik kepada para pemain NSFC selain menjadi satu cabang perniagaan untuk kelab.
“Pusat fisioterapi ini turut disediakan untuk memenuhi keperluan para atlet dari pelbagai peringkat sama ada profesional atau amatur yang ingin memulihkan kecederaan dan menjalani rawatan rehabilitasi.
“Pembukaan NSFC Sports Physio Centre ini juga adalah sebahagian daripada usaha NSFC untuk memperbaharui pelan perniagaan kelab disamping mendekatkan diri dengan khalayak ramai,” katanya.

Perkhidmatan yang disediakan di NSFC Physio Centre merangkumi antaranya khidmat fisioterapi, urutan sukan dan bekam.
Sempena pembukaan itu, NSFC Sports Physio Centre menawarkan diskaun sehingga 20 peratus untuk khidmat urutan sukan dan fisioterapi mulai esok hingga 15 Julai ini.-UTUSAN.










