KUALA PILAH: Seorang ibu di Kampung Terusan, Juasseh, di sini merayu supaya anak gadisnya untuk kembali ke pangkuan keluarga selepas tidak pulang ke rumah sejak 27 Jun lalu.
Siti Fatimah Mat Lazim, 43, berkata, dia kini bimbang dengan keselamatan anaknya itu, Fiffy Arnatasya Abdullah, 16, yang mesra dengan nama panggilan Nisa yang keluar dari rumah luar tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan wang.
Menurutnya, sebagai seorang ibu, dia sangat berharap agar anaknya itu dapat pulang serta berbincang sekiranya mempunyai sebarang masalah.
“Saya dan suami, Zawawi Tajudin, 49, serta ibu saya, Bariah Ahmad, 67, memang sangat berharap agar Nisa dapat pulang. Kami dapat tahu dia di Port Dickson bulan lalu, kami cuba mencari namun tidak jumpa.
“Nisa kalau kasihankan ibu dan wan (nenek) balik lah. Kalau ada apa masalah ceritalah pada kami. Kami bimbang, takut apa-apa yang terjadi,” katanya ketika ditemui di Kampung Terusan Juasseh, di sini, hari ini.
Pada 15 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan remaja berkenaan, kira-kira pukul 1 pagi, 28 Jun lalu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kehilangan tersebut merupakan kehilangan kali kedua di mana pada kehilangan pertama, ahli keluarga remaja berkenaan dapat mengesan dan membawanya pulang ke rumah.
“Remaja ini berkulit kuning langsat, tinggi kira-kira 150 sentimeter, berat sekitar 45 kilogram, berbadan kurus dan berambut warna separuh perang, lurus dan panjang separas bahu,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan remaja perempuan hilang berkenaan boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di nombor 06-484 2222.-UTUSAN.










