Nelayan terima pampasan setiap bulan sepanjang pembinaan Lexis Hibiscus 2 - Utusan Malaysia

Nelayan terima pampasan setiap bulan sepanjang pembinaan Lexis Hibiscus 2

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Lexis Hibiscus 2, Pekan Sungai Menyala, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seramai 40 buah keluarga nelayan di kawasan Pasir Panjang di sini menerima pampasan sebanyak RM1,000 setiap bulan sepanjang pembinaan projek pembangunan resort Lexis Hibiscus 2.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek berkenaan dibangunkan bersebelahan dengan resort sedia ada dengan keluasan lebih kurang 32 hektar dan tempoh pelaksanaan projek itu akan mengambil masa selama lima tahun bermula Jun lalu sehingga Jun 2029. 

Menurutnya, pemberian pampasan itu dimulakan sejak bulan lalu di mana senarai nama penerima sudah dikenal pasti oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan.

“Nelayan kami telah janji untuk kita bagi bulanan (pampasan) sehingga projek selesai kerana kita tahu bahawa mereka tidak akan dapat ke laut. Pemberian pampasan ini sehingga projek selesai.

“Pemberian bantuan buat anak nelayan yang bersekolah juga ada kerana itu antara perkara yang kita tekankan semasa perjanjian (projek) ditandatangani. Kita tidak mahu ada pihak yang hanya melihat pembangunan dan ada pihak pula yang terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Lexis Hibiscus 2, Pekan Sungai Menyala, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi KL Metro Group, Datuk Mat Hassan Esa serta Pengarah Urusannya, Datuk Law Tak Fatt dan Presiden Lexis Hotel Group, Datuk Prof. Mandy Chew Siok Cheng.

Sebagai rekod, projek berkenaan merupakan satu perjanjian usahasama di antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dengan syarikat Kuala Lumpur Metropolitan (M) Sdn. Bhd. yang dimuktamadkan pada 28 Mac 2018 dan sepatutnya bermula pada tahun 2020.

Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan disebabkan pandemik Covid-19.

Nilai pembangunan Lexis Hibiscus 2 tersebut dianggarkan sebanyak RM1.6 bilion dengan komponen binaan bilik penginapan sebanyak 1,710 buah unit melibatkan 910 buah unit water homes dan 800 buah unit lagi adalah hotel suites.

Setiap buah unit ini turut dilengkapi kolam renang peribadi bagi keselesaan pengunjung serta beberapa kemudahan lain.

Sementara itu, Mat Hassan berkata, projek mercu tanda yang terkenal termasuk Lexis Port Dickson, Grand Lexis Port Dickson, Lexis Suites Penang, Lexis Hibiscus Port Dickson dan Imperial Lexis Kuala Lumpur telah berjaya menarik 9.6 juta pelancong dari lebih 186 negara sejak tahun 2006.

Menurutnya, Lexis Hibiscus 2 bertujuan bagi memperkukuhkan status Port Dickson sebagai destinasi utama pelancongan, percutian mewah dan acara MICE (Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran).

“Resort bertaraf lima bintang ini dijangka menarik 1.1 juta pelancong setiap tahun dengan kira-kira separuh daripada mereka adalah dari luar negara,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN