Negeri Sembilan sentiasa luluskan LPS, galakkan sektor pertanian - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan sentiasa luluskan LPS, galakkan sektor pertanian

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa meluluskan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) sebagai langkah menggalak dan meningkatkan sektor pertanian di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut kini menjadi tumpuan kerajaan negeri khususnya kepada mereka yang mahu mengusahakan tanaman kontan.

“Setiap mesyuarat Exco akan diluluskan LPS bagi memastikan pertanian dapat dijalankan. LPS ini diluluskan kepada mereka yang berminat untuk mengusahakan pertanian secara tanaman kontan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada tanah-tanah kecil saiznya iaitu dibawah lima enam ekar boleh dibangunkan kawasan pertanian dan ternakan ikan, itu hari ini kerajaan negeri tumpukan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin berkata, kelulusan lebih banyak LPS itu juga sebagai usaha meningkatkan sektor pertanian dalam Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan selepas sektor itu menyaksikan menguncup 4.9 peratus dengan nilai ditambah RM3.2 billion tahun lalu.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini, kemerosotan itu adalah disebabkan oleh subsektor tanaman yang menguncup 8.5 peratus dipengaruhi oleh pengeluaran kelapa sawit.

Sementara itu, Menteri Besar berkata, Negeri Sembilan tidak mempunyai tanah yang cukup luas untuk diberikan untuk diusahakan dengan tanaman buluh.

“Ada yang datang memohon tetapi melibatkan tanah yang besar, tetapi kita tidak punya tanah yang luas untuk diberikan kepada industri buluh,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat bahawa kerajaan negeri sukar untuk memberikan tanah untuk tujuan penanaman buluh, sebaliknya cenderung memberikan tanah bagi penanaman sawit.

Aminuddin sementara itu memaklumkan bahawa kerajaan negeri sudah tidak lagi mengeluarkan kelulusan tanah kerajaan negeri bagi tujuan penanaman kelapa sawit.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini