Mohd. Asri pengarah baharu JHEAINS - Utusan Malaysia

Mohd. Asri pengarah baharu JHEAINS

AMINUDDIN Harun (tengah) menyerahkan surat pelantikan sebagai Pengarah JHEAINS kepada Mohd. Asri berkuatkuasa 22 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd. Asri Abdullah, 51, dilantik sebagai pengarah baharu jabatan itu berkuatkuasa 22 Julai ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelantikan tersebut bagi menggantikan Datuk Mohd Zaidi Ramli yang bertukar ke Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim). 

Beliau berkata, Mohd. Asri merupakan pemegang Ijazah Sarjana Pengajian Islam University of Birmingham, United Kingdom dan mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun. 

“Dengan pelantikan ini, JHEAINS akan dapat terus dipacu dengan baik dan kita berharap perkembangan syiar Islam terus kita sinarkan di seluruh Negeri Sembilan. 

“Saya harapkan juga program-program yang akan memberi impak masyarakat Islam dapat dilaksanakan mengikut peraturan dan prosedur yang ada,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Asri berkata, beliau bersyukur di atas kepercayaan diberi dengan lantikan ini. 

“Syukur dan terima kasih atas penghargaan daripada Menteri Besar dan kerajaan atas kepercayaan melantik saya sebagai Pengarah JHEAINS berkuatkuasa Isnin ini,” katanya yang merupakan kelahiran Kuala Pilah.

Memulakan perkhidmatan sebagai penjawat awam pada Mac 1999, Mohd. Asri, turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pernah memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×