NEW YORK: Meta Platforms melancarkan versi terbesar model kecerdasan buatan, Llama 3, yang kebanyakannya percuma, dengan kebolehan berbilang bahasa dan metrik prestasi umum yang hampir menyamai model berbayar daripada pesaing seperti OpenAI.
Model Llama 3 baharu memperkenalkan keupayaannya bertutur dalam lapan bahasa, menulis kod komputer berkualiti tinggi dan menyelesaikan masalah matematik yang lebih kompleks daripada versi sebelumnya, kata Meta dalam catatan blog dan kertas penyelidikan.
Dengan 405 bilion parameter atau pemboleh ubah yang diambil kira oleh algoritma untuk menghasilkan respons kepada pertanyaan pengguna, model ini jauh lebih besar berbanding versi sebelumnya yang dilancarkan tahun lalu, walaupun masih lebih kecil daripada model terkemuka yang ditawarkan pesaing.
Model GPT-4 OpenAI sebaliknya dilaporkan mempunyai satu trilion parameter dan Amazon melabur dalam model dengan dua trilion parameter.
Sebagai tambahan kepada model 405 bilion parameter utamanya, Meta juga mengeluarkan versi terkini bagi model Llama 3 yang lebih ringan dengan lapan bilion dan 70 bilion parameter yang mula diperkenalkan pada musim bunga, kata syarikat tersebut.
Ketiga-tiga model baharu ini adalah berbilang bahasa dan boleh mengendalikan permintaan pengguna yang lebih besar melalui ‘context window’ yang diperluas.
Ketua AI Generatif Meta, Ahmad Al-Dahle berkata, ia secara tidak langsung akan memperbaiki pengalaman dalam menjana kod komputer.
Meta mengeluarkan model Llama yang sebahagian besarnya percuma untuk digunakan oleh pembangun, strategi yang dikatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Zuckerberg akan membuahkan hasil dalam bentuk produk inovatif dan penglibatan lebih besar pada rangkaian sosial utama syarikat.
Syarikat itu juga berpeluang mendapat keuntungan jika pembangun memilih untuk menggunakan model percumanya berbanding model berbayar, sekaligus mengurangkan model perniagaan pesaingnya.
Walaupun kemajuan pembangunan AI terkenal sukar untuk diukur, keputusan ujian yang diberikan oleh Meta menunjukkan model Llama 3 terbesarnya hampir menyamai dan dalam beberapa kes mengatasi model Claude 3.5 Sonnet oleh Anthropic serta GPT-4 oleh OpenAI, yang dianggap sebagai dua model AI paling kuat di pasaran.- REUTERS










