SEREMBAN: Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menerima peruntukan sebanyak RM3.3 juta untuk membaik pulih lif di dua perumahan berstrata swasta pada tahun ini.
Peruntukan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu adalah menerusi Projek Penyelenggaraan atau Penggantian Lif Madani 2.0
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, dua perumahan terlibat adalah Pangsapuri Taman Seremban Putra, Sikamat dan Apartment Casa Prima di Seremban 2.
“Pangsapuri Taman Seremban Putra telah menerima peruntukan bagi penggantian lima unit lif dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.8 juta manakala Apartment Casa Prima melibatkan kerja-kerja penggantian empat unit lif dengan kos RM1.5 juta.
“Badan Pengurusan Bersama (JMB) perumahan ini telah mengemukakan permohonan kepada MBS berkenaan isu lif dihadapi dan MBS telah panjangkannya kepada KPKT yang kemudiannya telah meluluskan peruntukan di bawah program Penggantian Lif Madani 2.0,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas turun padang berkenaan lif rosak yang dihadapi penduduk Pangsapuri Taman Seremban Putra, Sikamat di sini hari ini.
Menurul Arul Kumar, kerja-kerja penggantian lif tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh setahun pada bulan Mei tahun hadapan.
“Kelulusan peruntukan penggantian lif ini adalah selaras dengan aduan daripada penduduk setempat berhubung permasalahan lif yang sering berlaku,” katanya.
Jelas beliau, secara keseluruhan, sebanyak RM4.6 juta peruntukan diterima MBS daripada KPKT tahun ini di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).
Sementara itu Pengerusi Penduduk Pangsapuri Taman Seremban Putra, Mohd. Ridzuan Md Zaini berkata, masalah lif dihadapi telah berlarutan lebih 20 tahun dan ia menyukarkan penduduk melakukan urusan harian.
“Di kawasan perumahan ini terdapat 10 blok dan keseluruhannya ada 1,000 unit rumah. Setiap blok hanya ada satu lif saja boleh digunakan dan ia sangat menyusahkan penduduk di sini terutama bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Jelas Mohd. Ridzuan, pihaknya bersyukur kerana permohonan membaik pulih kemudahan tersebut yang dibuat kepada MBS telah dipertimbangkan melalui peruntukan KPKT.
“Buat masa ini hanya lima lif saja diluluskan dan pihak pengurusan akan buat lima permohonan baharu pada masa akan datang,” katanya.-UTUSAN.










