Malaysia semakin panas

Malaysia semakin panas

Paras air di Tasik Bukit Merah menyusut kepada paras 6.096 Meter menyebabkan empangan tersebut semakin kering kontang hingga menampakkan dasarnya. FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suhu di Malaysia ketika ini direkodkan semakin panas dengan peningkatan sebanyak 1.35 darjah Celsius dalam tempoh 50 tahun.

Berdasarkan Laporan Fourth National Communication (NC4) pada 2 Mei lalu, berlaku peningkatan suhu maksimum sebanyak 0.24 darjah Celsius setiap dekad manakala suhu minimum permukaan bagi Semenanjung Malaysia mencatatkan pertambahan 0.27 darjah Celsius sejak 50 tahun lepas.

Perbandingan ini membuktikan suhu minimum meningkat pada kadar yang lebih cepat berbanding suhu maksimum, sekali gus menjadikan malam lebih panas dengan cepat berbanding siang.

Semalam, sebanyak lapan kawasan di Semenanjung merekodkan cuaca panas Tahap 1 atau berjaga-jaga
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran media sosial memberitahu, kawasan yang mencatatkan cuaca panas Tahap 1 ialah Larut dan Matang di Perak, Gombak di Selangor dan Kuala Krai di Kelantan.

Raub, Temerloh, Maran, Bentong dan Rompin di Pahang juga merekodkan keadaan cuaca yang sama.

“Cuaca panas Tahap 1 merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.

“Bagi sebarang maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh rujuk laman web https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/,” menurut hantaran tersebut.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui MET Malaysia sudah membina sebanyak 433 buah stesen pencerapan permukaan di seluruh negara untuk mencerap data-data cuaca seperti hujan, angin, suhu, kadar kelembapan dan tekanan udara.

MET Malaysia mencerap nilai suhu maksimum yang biasanya berlaku pada waktu siang manakala nilai suhu minimum dicerap pada waktu malam bagi pemantauan suhu.

Berdasarkan rekod suhu yang dicerap oleh MET Malaysia, purata suhu minimum di Semenanjung Malaysia pada tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan apabila dibandingkan dengan purata suhu minimum yang dicerap dalam tempoh lima tahun yang lepas.

Dalam pada itu, sikap segelintir pihak yang tidak patuh dengan Dasar Perhutanan Negara secara amnya menyebabkan perubahan iklim dan gangguan terhadap keseluruhan ekosistem, termasuklah kesihatan manusia serta ekonomi negara.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman menjelaskan, iklim tidak berubah, monsun juga tidak berubah, namun perubahan melibatkan unsur yang mengganggu iklim itu sendiri termasuk aktiviti perhutanan tidak terkawal.

“Dalam hal ini, kerajaan sudah buat dasar kebangsaan di peringkat nasional seperti Dasar Perhutanan Negara, kepelbagaian biologi, dasar yang dibuat itu cantik tetapi pelaksanaannya gagal.

Sebab itu berlaku krisis kerana kita tidak mematuhi dasar yang dibuat.

“Oleh hal yang demikian, penting untuk kita berbalik kepada cara untuk menguruskan sumber alam dengan baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengambil contoh beberapa isu yang berlaku dalam pematuhan Rancangan Fizikal Negara, jelas Meor Razak , terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab meluluskan pembangunan di kawasan sensitiviti alam sekitar tahap satu.

“Rancangan Fizikal Negara telah menetapkan untuk memulihara kawasan yang terletak 1000 meter dari aras laut, menyaksikan tiada sebarang pembangunan boleh dibuat. Namun, ada pihak yang ingin menjadikan ia sebagai kebun sayur seperti di Cameron Highlands di banjaran Titiwangsa. Ia bercanggah dengan apa yang ditetapkan.

“Jadi, bila banyak aktiviti seperti ini dilakukan, ia akan mengganggu ekosistem sekaligus menyebabkan perubahan iklim di Malaysia,” ujarnya.

Mengulas isu sama, Dekan Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Ts Dr. Mohamad Faiz Mohd Amin berkata, peningkatan konsentrasi gas rumah hijau, urbanisasi yang pesat juga menyumbang kepada faktor perubahan iklim.

Katanya, perubahan ini boleh mengakibatkan fenomena cuaca lebih ekstrim, seperti gelombang haba, yang berpotensi membahayakan kesihatan awam, khususnya golongan paling rentan seperti kanak-kanak dan warga emas.

“Spesies yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan suhu yang meningkat mungkin menghadapi kepupusan. Contoh nyata adalah pemutihan karang di Malaysia yang mengakibatkan kehilangan habitat untuk banyak spesies laut,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains dan Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr. Aweng Eh Rak berkata, peningkatan suhu dunia disebabkan oleh pelepasan gas rumah hijau yang semakin tidak terkawal dan Malaysia tidak terkecuali dari kesan ini.

Kata beliau, selain daripada isu global, negara juga menghadapi masalah tempatan seperti peningkatan kawasan tidak telap air akibat pembinaan bangunan dan jalan raya, serta pengurangan pokok yang mampu menyerap karbon dioksida melalui proses fotosintesis.

Dalam perkembangan berkaitan, kawasan paya di sekeliling Tasik Bukit Merah di Bagan Serai yang menjadi sumber bekalan air ke tasik itu ‘diganggu’ dengan aktiviti pertanian menyebabkan ia mudah kering.

Meor Razak berkata, tasik tersebut berbeza dengan tasik lain yang mempunyai sumber air sama ada dari sungai atau dari kawasan air terjun.

“Kawasan paya di sekeliling tasik itu ibarat ‘span’ yang menyerap atau menyimpan air yang membekalkan air secara berterusan mengalir masuk ke Tasik Bukit Merah.

“Paya di sekeliling tasik tersebut merupakan ‘water catchment’ atau sumber bekalan air ke tasik.

“Sumber air tasik itu bukan dari sungai atau air terjun tetapi dari paya dan alur paya yang terdapat di sekitarnya tetapi banyak kawasan paya diteroka untuk aktiviti pertanian,” ujarnya.

Keadaan itu juga menyaksikan seluas 4,890.06 hektar sawah di lima kawasan di Bagan Serai terjejas berikutan bekalann air dihentikan sejak 28 Jun lalu disebabkan tasik berkenaan kering akibat cuaca panas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN