PETALING JAYA: Malaysia menegaskan komitmennya untuk memastikan proses perundangan terhadap pihak bertanggungjawab dalam nahas pesawat Malaysia Airlines (Mas) MH17 yang mengorbankan 298 penumpang, pada 10 tahun lalu.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, proses itu mengikut undang-undang antarabangsa demi keadilan keluarga semua terlibat.
“Kerajaan Malaysia bertekad agar proses itu perlu dipastikan dalam ruang lingkup kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.
“Kami mengulangi rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mangsa nahas penerbangan MH17,” kata kenyataan itu hari ini.
Hari ini merupakan memasuki tahun ke-10 insiden menggemparkan dunia itu apabila pesawat meletup akibat terkena tembakan peluru berpandu dan terhempas menyebabkan semua 298 penumpang pelbagai negara terdiri termasuk anak kapal terkorban.
Pesawat Boeing 777 MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol, Belanda pada 12.31 tengah hari waktu tempatan (7.31 malam waktu Malaysia) sebelum Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine memaklumkan Mas bahawa mereka terputus hubungan dengan pesawat itu beberapa jam kemudian.
Tambah Kementerian Pengangkutan, pihaknya berikrar untuk mencari keadilan terhadap waris mangsa dan memastikan mereka terlibat bertanggungjawab di atas perbuatan tidak masuk akal ini.
“Sedekad telah berlalu sejak pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH17 terhempas pada 17 Julai 2014, mengakibatkan kematian tragis kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 43 rakyat Malaysia.
“Selepas tragedi ini, negara kita bersatu, bersatu dalam kesedihan dan keazaman. Kami berikrar untuk mencari keadilan bagi mereka yang hilang dan memastikan mereka terlibat akan bertanggungjawab atas perbuatan tidak masuk akal ini,” katanya. – UTUSAN










