JOHOR BAHRU:Terpengaruh dengan keuntungan skim pelaburan yang ditawarkan kenalan, seorang juruteknik lelaki mengalami kerugian sebanyak RM167,147, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, semalam yang mendakwa dirinya telah ditipu oleh seorang kenalan dalam laman sosial Facebook yang menawarkan skim pelaburan dalam talian dengan keuntungan 20 peratus daripada modal yang dilaburkan.
“Mangsa diberitahu hanya perlu mendaftarkan diri menerusi pautan yang diberikan, seterusnya mengambil tempahan daripada pelanggan dan membuat bayaran dengan mendahulukan wang mangsa.
“Mangsa yang tertarik dengan kaedah yang mudah dan pulangan tinggi telah melakukan 21 kali transaksi bayaran secara dalam talian ke dalam 14 akaun bank berbeza sejak 29 April hingga 23 Jun lalu yang keseluruhannya berjumlah RM167,147,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Sohaimi berkata, pembayaran yang dilakukan itu adalah untuk tempahan barangan yang mangsa kumpulkan daripada pelanggan.
“Selepas melaburkan sejumlah wang tersebut, keuntungan yang diperoleh tidak dapat dikeluarkan membuatkan mangsa sedar dirinya telah ditipu,” katanya sambil memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Siasatan juga akan meliputi penglibatan ‘keldai akaun’ dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan atau kerja sambilan yang menjanjikan pulangan mudah, cepat dan tinggi. – UTUSAN










