PETALING JAYA: Polis menahan lima individu termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dalam 15 kejadian pecah rumah di daerah Subang Jaya.
Kesemua mereka ditahan selepas satu laporan dibuat seorang wanita bekerja sebagai pengurus sumber manusia yang memaklumkan rumahnya di Puchong, dekat sini dipecah masuk pada 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pengadu memaklumkan, dia bersama ahli keluarganya meninggalkan rumah pada pukul 8.35 pagi sebelum pulang dan mendapati pintu pagar dirosakkan dengan bingkai besi pintu utama diumpil selain rumah berselerak pada pukul 12.30 tengah hari.
“Pemeriksaan dilakukan pengadu mendapati barang berharga serta wang tunai miliknya serta ahli keluarga hilang.
“Jumlah kerugian pengadu dalam kejadian itu dianggarkan RM40,000,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Wan Azlan berkata, lima individu termasuk dua pasangan suami isteri berusia 22 hingga 32 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang kira-kira pukul 8 malam, kelmarin.
Kata beliau, dalam serbuan itu, pelbagai barangan termasuk beg tangan, jam tangan, telefon bimbit, sejumlah wang tunai serta alat perkakas seperti spanar dan playar yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah dirampas.
“Hasil soal siasat terhadap suspek, kami percaya dapat menyelesaikan 15 kes pecah rumah di Subang Jaya pada tahun ini yang dipercayai didalangi kumpulan berkenaan,” jelasnya.
Kata beliau, semua suspek direman empat hari hingga 10 Julai ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis akan terus komited memerangi jenayah dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah itu boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD Subang Jaya di talian 03-78627100 untuk tindakan lanjut,” katanya.










