Lesap ratusan ribu, baru sedar ditipu - Utusan Malaysia

Lesap ratusan ribu, baru sedar ditipu

SHAHRULANUAR MUSHADDAT ABDULLAH SANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Sudah habis ratusan ribu ringgit, baru sedar kena tipu.

Itulah nasib seorang pesara guru yang terpedaya dengan pelaburan saham palsu hampir empat bulan akibat rambang mata ditawarkan pulangan lumayan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdulah Sani berkata, pada 26 Mac lalu wanita berusia 56 tahun itu melihat iklan pelaburan AVA Investment, Sahabat Invest dan MIDF Invest dalam aplikasi Telegram yang menawarkan keuntungan tinggi.

Selepas menyatakan minatnya untuk melabur, mangsa telah dihubungi seorang individu tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp dan seterusnya memberi pautan laman web avafinancialfrx.com/trade/index.phd yang kemudiannya memasukan maklumat diri dalam platform berkenaan.

“Bermula  29 Mac hingga 6 Julai mangsa telah membuat pindahan ke dalam 34 akaun bank berbeza secara berperingkat-peringkat sebanyak RM156,850.

“Selepas melihat terdapat keuntungan dalam akaun pelaburan miliknya dan ingin membuat pengeluaran, suspek kemudiannya memberikan pelbagai alasan tidak munasabah malah meminta mangsa membuat pembayaran tambahan bagi mengeluarkan keuntungan diperoleh,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, mangsa tidak membuat sebarang bayaran tambahan kerana menyedari dirinya tertipu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM156,850 yang dilaburkan lesap tanpa memperoleh sebarang keuntungan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

“Sikap mudah percaya dengan pulangan pelaburan lumayan serta tamak antara punca utama orang ramai menjadi mangsa pelaburan palsu seperti ini, Kita nasihatkan agar tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah dalam masa singkat tanpa membuat semakan terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN