PETALING JAYA: Kekurangan zuriat secara global berpunca daripada kesuburan lelaki terganggu akibat pemakanan dan persekitaran yang tidak kondusif termasuk pencemaran alam sekitar.
Di negara ini, purata bilangan anak yang perlu dilahirkan oleh seseorang wanita dengan mengandung seorang anak perempuan yang hidup sehingga anak itu melahirkan anak adalah 1.6 anak pada 2022 berbanding 2.1 anak pada 2010.
Malaysia bersama beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (1.7 anak), Australia (1.7 anak), United Kingdom (1.6 anak), Jepun (1.3 anak) dan Korea Selatan (0.8 anak) menunjukkan trend kadar kesuburan menurun di bawah paras penggantian.
Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, jika tahap kesihatan lelaki kurang subur, maka golongan wanita tiada atau kurang anak dan menyumbang kepada kekurangan zuriat secara global.
“Jika kadar kesuburan yang rendah berterusan, maka dikhuatiri populasi akan datang lebih kepada populasi menua dan tidak ada populasi yang akan menggantikan yang lama. Ini mengakibatkan kurangnya penduduk sekali gus sumber manusia dari luar diperlukan.
“Tanggungan keluarga juga bermasalah buat golongan tua apabila tidak akan ada golongan muda untuk menanggung mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, kesuburan lelaki merosot di negara ini disebabkan pengambilan rokok yang tidak terkawal, pemakanan tidak sihat serta mengamalkan gaya hidup tidak aktif.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, jumlah kelahiran hidup di negara ini mencatatkan penurunan sejak 2012 dan situasi itu berkait rapat dengan kadar kesuburan keseluruhan (TFR) yang juga menunjukkan penurunan semakin ketara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, berdasarkan Laporan Perangkaan Penting 2023 oleh Jabatan Perangkaan, penurunan TFR kepada 1.6 anak pada 2022 berbanding 2.1 anak pada 2010.
Namun, Sharifa Ezat menjelaskan, di negara ini ramai wanita menangguhkan waktu berkahwin atau berpasangan kerana sibuk dengan urusan bekerja selain tiada masa untuk keluarga.
“Ada juga yang berkahwin tetapi tidak mahu mempunyai anak kerana mahu ekonomi stabil berikutan kenaikan kos hidup ketika ini.
“Faktor-faktor seperti itu turut menyumbang kepada penurunan populasi. Jika dahulu aspek kesihatan antara punca utama, namun kini ramai pasangan suami isteri bercakap soal ekonomi yang mencabar sekali gus mereka memilih untuk tidak memiliki anak buat masa ini,” ujarnya.
Sementara itu, pakar sakit tuan, Dr. Ismail Tambi berkata, rawatan kesuburan lebih tertumpu kepada golongan wanita sahaja dan kurang diberikan perhatian kepada lelaki.
Katanya, pemeriksaan biasa yang dilakukan ke atas suami sering kali tidak mendapat sokongan kerana melibatkan ujian air mani yang menyebabkan rasa tidak selesa serta golongan lelaki juga jarang berjumpa doktor dan kurang terdedah kepada penjagaan kesihatan berbanding wanita.
“Bagaimanapun, trend ini mula berubah dengan inisiatif baharu daripada kerajaan melalui program kesihatan lelaki di mana program ini perlu dipertingkatkan secara meluas agar golongan lelaki lebih peka tentang peranan mereka dalam kesihatan keluarga.
“Jika golongan lelaki peka tentang kesihatan seksual dan reproduktif, sudah tentu mereka akan lebih bertanggungjawab dan tidak teragak-agak menjalani pemeriksaan kesuburan,” jelasnya.
Tambahnya, sebagai permulaan, dalam kursus praperkahwinan, maklumat tentang reproduktif lelaki dan wanita perlu diberikan pendedahan agar mereka memahami kepentingan mengambil rawatan kesuburan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, mereka juga perlu diberi taklimat tentang cara meningkatkan kesuburan melalui amalan gaya hidup sihat termasuk menangani isu perokok tegar, dadah, alkohol, seks rambang dan jangkitan kelamin.
Menurutnya, kursus praperkahwinan boleh memasukkan modul tentang pentingnya diet seimbang, senaman teratur dan pengurusan stres yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan reproduktif.
“Calon pasangan perlu diajar tentang kepentingan mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan berunding dengan pakar kesihatan jika mereka menghadapi sebarang masalah kesuburan.
“Dengan memberikan maklumat yang komprehensif dan praktikal dalam kursus praperkahwinan, calon pasangan boleh membuat keputusan yang lebih baik tentang kesihatan reproduktif mereka dan mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan peluang mereka untuk mempunyai keluarga yang sihat dan bahagia,” katanya.
Ujarnya, perkhidmatan asas penilaian kesuburan perlu disediakan di semua klinik kesihatan dan bagi yang menghadapi masalah sperma atau ovulasi (penghasilan telur wanita), mereka boleh dirujuk kepada pakar di hospital kerajaan berdekatan. – UTUSAN










